Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNGA terima resolusi desak gencatan senjata segera di Gaza

    NEW YORK, 13 JUN – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Sidang Khas Tergempar kelmarin, menerima resolusi yang menuntut gencatan senjata segera di Gaza dan akses bantuan kemanusiaan secara menyeluruh tanpa halangan.

    Resolusi itu menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan yang mesti dipatuhi oleh semua pihak.

    Ia mengutuk penggunaan kelaparan sebagai senjata peperangan serta tindakan menafikan akses bantuan kemanusiaan.

    Resolusi itu menegaskan bahawa pihak pendudukan mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang antarabangsa untuk memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada semua yang memerlukan.

    Ia turut menuntut kemudahan segera dan kekal kemasukan bantuan kemanusiaan secara menyeluruh, pantas dan selamat ke seluruh Gaza serta pengagihannya kepada semua rakyat Palestin.

    Logo PBB semasa Perhimpunan Agung di ibu pejabat PBB pada 25 September 2024, di bandar raya New York. – AFP

    Israel sebagai kuasa pendudukan turut dituntut menamatkan sekatan, membuka semua lintasan sempadan, dan memastikan bantuan sampai kepada penduduk awam Palestin di seluruh Gaza dengan segera.

    Resolusi berkenaan menekankan keperluan untuk mewujudkan akauntabiliti agar Israel mematuhi kewajipan undang-undang antarabangsa dan menggesa semua negara anggota PBB mengambil langkah sewajarnya secara individu dan kolektif untuk memastikan pematuhan itu.

    Ia mengulangi komitmen terhadap penyelesaian dua negara dengan Semenanjung Gaza sebagai sebahagian daripada Negara Palestin, serta menolak sebarang percubaan menukar demografi atau wilayah Gaza dan Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur, selain semua tindakan yang melanggar status quo bersejarah di tempat-tempat suci bandar itu.

    Resolusi itu juga menolak sekeras-kerasnya tindakan mengusir rakyat Palestin secara paksa dan merampas wilayah mereka secara haram, serta menuntut ia dihentikan segera dan sepenuhnya.

    Ia menuntut penghentian segera semua pembinaan penempatan haram, peluasan wilayah, rampasan tanah, perobohan rumah, pengusiran paksa dan keganasan oleh pendatang haram di Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur.

    Resolusi berkenaan menggesa langkah konkrit bagi memelihara integriti wilayah Palestin yang diduduki, serta penyatuan Gaza dan Tebing Barat di bawah pihak berkuasa Palestin.

    Ia turut mengesahkan tanggungjawab tetap PBB terhadap isu Palestin sehingga ia diselesaikan sepenuhnya mengikut undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB berkaitan.

    Negara anggota turut digesa agar menghormati keistimewaan dan kekebalan semua kakitangan PBB dan agensi berkaitan serta tidak menghalang tugas mereka. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda