Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Unggah ingatkan kontraktor bina jalan raya tidak bergantung jentera lama

    BETONG, 19 JUN – Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengingatkan kontraktor yang menjalankan projek pembinaan jalan baharu di negeri itu supaya tidak bergantung terhadap penggunaan jentera lama atau usang memandangkan sering mengalami kerosakan.

    Uggah yang juga Menteri Infrasktruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata apabila kerosakan berlaku, maka banyak masa akan terbuang untuk pembaikan atau menunggu untuk mendapatkan alat ganti sekali gus menyebabkan pelaksanaan projek tertangguh.

    “Rakyat akan mempersoalkan integriti dan kesungguhan kontraktor dalam menyiapkan projek yang diberikan apabila jentera digunakan kerap rosak,” katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Penyulok/Nanga Penebak di Ulu Layar hari ini.

    Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah diarahkan untuk memantau dengan ketat kemajuan pembinaan jalan raya oleh kontraktor terlibat dan tidak akan teragak-agak untuk menamatkan kontrak mereka yang gagal mematuhi pelan kerja, skop dan jadual siap ditetapkan.

    “Hal ini bagi mengelak sebarang projek terbabit menjadi projek tertangguh atau projek tertangguh secara kritikal,” katanya sambil menambah apabila projek tertangguh, rakyat sebagai penerima manfaat akan menyalahkan kerajaan dan wakil rakyat mereka.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu pada majlis berkenaan berkata projek menaik taraf jalan raya merupakan usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar. – Bernama

    Gambar ANN/The Star
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda