Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNHR perlu AS$400j tangani krisis global

    GENEVA, 13 DIS – Agensi kemanusiaan menghadapi kekurangan dana yang teruk untuk menangani pelbagai krisis global, Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHR) memberikan amaran hari ini, mengatakan ia memerlukan AS$400 juta menjelang akhir tahun.

    Berucap pada pembukaan Forum Pelarian Global di Geneva, Pesuruhjaya Tinggi UNHR, Filippo Grandi menyeru penderma untuk mengukuhkan sokongan mereka.

    “Banyak organisasi kemanusiaan menghadapi cabaran pembiayaan yang teruk,” katanya sambil menyatakan “UNHCR sahaja kekurangan AS$400 juta untuk mengakhiri tahun ini dengan sumber minimum yang diperlukan”.

    Katanya lagi, “Ia merupakan kekurangan yang tidak pernah kami alami selama bertahun-tahun dan kami semua melihat dengan penuh kebimbangan pada 2024.”

    Daripada peperangan Rusia di Ukraine, perang saudara di Sudan dan krisis kemanusiaan di Afghanistan, konflik dan krisis telah mencetuskan perpindahan rekod sebelum perang Gaza meletus.

    Jumlah orang yang dipindahkan di seluruh dunia melebihi 114 juta pada akhir September, mencapai tahap tertinggi sepanjang masa.

    Grandi berkata ia bersamaan dengan ‘114 juta impian yang hancur, kehidupan yang musnah, harapan yang terjejas.

    Ia adalah angka yang mencerminkan krisis – banyak krisis kemanusiaan’.

    Antaranya, hampir 36.5 juta telah melarikan diri merentasi sempadan dan hidup sebagai pelarian, menurut UNHCR – jumlah yang meningkat dua kali ganda dalam tujuh tahun lalu dan nampaknya akan terus meningkat. – AFP

    Filippo Grandi menyampaikan ucapan pada hari pembukaan Forum Pelarian Global, di Geneva, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda