RAMALLAH, 28 MEI – Palestin pada semalam menyambut baik keputusan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) untuk membentuk sebuah jawatankuasa bebas bagi menyiasat pencabulan Israel di wilayah Palestin, lapor Xinhua.
Semasa sesi khas, UNHRC memutuskan untuk melancarkan siasatan antarabangsa terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan Israel di wilayah Palestin yang diceroboh sejak April, setelah 24 negara anggota menyokong dan sembilan menentang, sementara 14 yang lain berkecuali.
Keputusan itu menuntut siasatan terhadap tindakan ganas tentera Israel dan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, serta “faktor utama” ketegangan antara kedua-dua pihak.
Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan berkata 24 negara anggota yang menyokong keputusan itu “berdiri untuk keadilan, hak dan pertanggungjawaban.” – Bernama