Oleh Raz AS
Ikatan Uni atau Uni Knot yang juga dikenali sebagai ikatan Duncan (Duncan Knot) merupakan teknik ikatan yang dicipta oleh pemancing Scotland, Norman Duncan. Ikatan ini merupakan jenis ikatan versatil yang boleh digunakan untuk pelbagai keperluan.
Juga dikenali sebagai Grinner knot dan mempunyai rupa yang lebih kurang sama dengan Hangman’s knot, Uni Knot boleh bukan sahaja digunakan untuk mengikat peralatan terminal seperti kili-kili dan mata kail, bahkan juga untuk menghubungkan dua tali dengan ikatan yang dikenali sebagai Double Uni Knot.
Langkah pertama untuk membuat teknik ikatan Uni adalah untuk memasukkan hujung tali ke dalam lubang mata kail atau peralatan terminal, kemudian ‘gimbarkan’ tali tersebut dan bawa hujung tali kembali ke bawah dekat lubang mata kail.
Setelah itu lilitkan hujung tali pada tali yang ‘bergimbar’ tadi sebanyak empat ke enam kali lilitan bergantung pada ketebalan tali yang digunakan. Langkah seterusnya, basahkan tali untuk melicinkan dan tarik hujung tali sehingga ikatan terhasil.
Kemudian tarik tali pohon sehingga ikatan tersebut sampai ke lubang mata kail. Potongkan lebihan tali untuk mengemaskan lagi ikatan.
Ikatan Uni sangat sesuai untuk pelbagai jenis tali, sama ada mono, flouro atau braided. Selain mudah, ikatan ini juga mampu mengekalkan kekuatan tali sehingga 82 peratus menjadikannya salah satu teknik ikatan pilihan ramai pemancing.