LAGOS, 29 Sept – Kebanyakan sekolah di negeri yang teruk terjejas oleh konflik Boko Haram terus ditutup, menurut PBB hari ini, dengan menyalahkan para pejuang kerana sengaja menyasarkan pendidikan.
Unicef, agensi kanak-kanak PBB, mengatakan kira-kira 57 peratus buah sekolah di negeri Borno ditutup ketika tahun baru akademi bermula bulan ini, dengan bilangan guru dan juga bangunan teruk terjejas oleh keganasan.
Lebih 2,295 orang guru terbunuh dan 19,000 orang berpindah tempat, manakala hampir 1,400 buah sekolah telah musnah dalam pertempuran lapan tahun, tambahnya dalam satu kenyataan.
Sekolah-sekolah ditutup kerana ia rosak terlalu teruk atau terletak di kawasan yang masih dianggap tidak selamat di sebalik pertempuran balas ketenteraan berterusan ke atas militan-militan pejuang Islam sejak 2015.
Unicef memberi amaran situasi itu mengancam akan membentuk ‘generasi kanak-kanak yang hilang, yang mengancam masa depan mereka dan negara mereka,’ jika tidak ada yang dilakukan. Penolong pengarah eksekutif agensi itu Justin Forsyth berkata pada lawatan ke timur laut bahawa kesan pemberontakan pada pendidikan ‘bukan tidak disengajakan’.
“Ini adalah strategi sengaja oleh Boko Haram untuk memusnahkan peluang kanak-kanak pergi ke sekolah,” dia memberitahu AFP dalam temu bual melalui telefon dari bandar negeri Borno, Maiduguri. – AFP