LAGOS, 3 MAC – Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) akan memberikan sokongan psikososial kepada 279 pelajar sekolah yang menjadi mangsa penculikan di Zamfara, barat laut Nigeria.
Perwakilan UNICEF Nigeria, Peter Hawkins dalam satu kenyataan berkata sokongan itu juga akan diberikan kepada keluarga mangsa.
UNICEF akan bekerjasama dengan kementerian pendidikan untuk memastikan keselamatan mereka apabila kembali ke sekolah, lapor Agensi Berita Xinhua.
“Kami gembira dengan pembebasan pelajar sekolah perempuan itu dan berharap mereka selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing, kami mengulangi bahawa serangan terhadap pelajar dan sekolah bukan sahaja keji tetapi melanggar hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan,” katanya.
Beliau menyeru kerajaan mengambil langkah-langkah yang lebih berkesan untuk melindungi sekolah dan pelajar.
Ratusan pelajar perempuan yang diculik minggu lalu dari sebuah sekolah berasrama dibebaskan pada Selasa, kata Gabenor Zamfara Bello Matawalle. – Bernama