NEW YORK, 11 JUN – Hampir 400 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun – kira-kira 60 peratus dalam kumpulan umur itu di seluruh dunia – mengalami disiplin fizikal atau psikologi yang ganas di rumah, daripada memukul atau menampar hingga penghinaan, kata Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) lewat kelmarin.
Anggaran UNICEF baharu memaparkan data daripada 100 negara yang dikumpul dari 2010 hingga 2023 dan meliputi kedua-dua ‘hukuman fizikal’ dan ‘penderaan psikologi’.
Bagi UNICEF, penderaan psikologi boleh termasuk menjerit kepada kanak-kanak, atau memanggil mereka ‘bodoh’ atau ‘malas’, manakala penderaan fizikal termasuk menggoncang, menampar atau memukul kanak-kanak, atau sebarang tindakan yang bertujuan untuk menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan fizikal, tanpa kecederaan.
Daripada hampir 400 juta kanak-kanak itu, kira-kira 330 juta daripada mereka mengalami penderaan fizikal, kata agensi PBB itu.
Walaupun semakin banyak negara mengharamkan hukuman fizikal ke atas kanak-kanak, hampir 500 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun tidak dilindungi undang-undang daripada perbuatan sedemikian.
“Apabila kanak-kanak didera secara fizikal atau lisan di rumah, atau apabila mereka diabaikan dari segi sosial dan emosi oleh orang yang disayangi mereka, ia boleh menjejaskan rasa harga diri dan perkembangan mereka,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell dalam satu kenyataan.
“Ibu bapa yang suka bermain boleh membawa kegembiraan dan juga membantu kanak-kanak berasa selamat, belajar, membina kemahiran dan mengenal dunia di sekeliling mereka.” – AFP


