UNICEF: Jurang pembelajaran akibat pandemik meningkat di Asia Selatan

NEW DELHI, 9 SEPT – Sebanyak 75 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 13 tahun di India terjejas pembelajaran akibat penutupan sekolah disebabkan pandemik COVID-19, menurut UNICEF hari ini.

UNICEF memaklumkan, hasil kajian di India, Maldives, Pakistan dan Sri Lanka mendapati penutupan sekolah ketika pandemik mengakibatkan jurang perbezaan pembelajaran yang ketara terhadap 434 juta kanak-kanak di Asia Selatan walaupun terdapat usaha memperluas pendidikan jarak jauh. Capaian internet rendah, kekurangan komputer dan kapasiti guru yang terhad telah menjadi kekangan utama bagi proses pembelajaran dalam talian.

“Penutupan sekolah telah memaksa ratusan juta kanak-kanak dan guru beralih kepada pembelajaran jarak jauh walaupun berdepan cabaran capaian internet yang rendah dan kekurangan akses kepada peranti,” kata pengarah serantau agensi itu, George Laryea-Adjei.

Menurut laporan, sebanyak 75 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 13 tahun, dan 80 peratus kanak-kanak berusia 14 hingga 18 tahun di India kurang menjalani sesi pembelajaran berbanding ketika berada di sekolah. – Bernama