Oleh Amri HTZ –
Menyebut mengenai permainan, semua peringkat umur amat menggemarinya yang mampu memberi keriangan kepada para pemainnya.
Hal ini lebih-lebih lagi bagi permainan yang boleh dimainkan secara beramai-ramai. Selain permainan menggunakan gajet, permainan berbentuk tradisional juga tidak kurang hebatnya untuk dimainkan bersama.
Permainan yang ringkas, tidak memerlukan banyak peraturan atau pembelajaran akan menambahkan lagi keseronokan untuk dimainkan bersama ahli keluarga mahupun sahabat handai.
Sediakan barangan
Projek rekaan kali ini akan membawa awda untuk mereka permainan zig-zag yang mudah untuk direka sendiri. Untuk itu sedia peralatan seperti:
• Alat pemotong kayu seperti jig saw, miter saw dan table saw
• Mesin gerudi
• Kepingan papan dan papan lapis
• Alat pengepit kayu
• Nail gun (pilihan)
• Pisau utiliti
• Gam kayu
• Kertas
• Mata gerudi Forschner berukuran ½ inci dan 1 inci
• Pensel
• Mesin router (pilihan)
Mulakan projek
Kayu-kayu yang tersedia akan dipotongkan dengan ukuran:
• 2 inci x 4 inci dengan panjang 5 ½ kaki (dua keping)
• 1 inci x 8 inci dengan panjang 5 ½ kaki (dua keping)
• 1 inci x 8 inci dengan panjang 2 ½ kaki (sekeping)
• 1 inci x 12 inci dengan panjang 2 ½ kaki (sekeping)
• 10 kepingan kau dengan lebar ½ inci berkepanjangan 28 inci
• Sekeping papan lapis dengan panjang 5 ½ kaki dan lebar 28 inci berketebalan ½ inci
Setelah memotong kayu-kayu tersebut, kumpul dan ukur semula dengan pita pengukur bagi memastikan ukuran yang tepat. (rujuk gambar 2)
Untuk kayu pemegang zig-zag awda perlu memotong papan lapis dengan ukuran 5 ½ kaki panjang. Selain itu dowel berdiameter ½ inci dan 1 inci juga diperlukan.
Bagi bahagian tengah papan, untuk meletakkan kayu pemegang zig-zag, awda perlu membentuk ruangan pada kayu 1 inci x 12 inci dengan panjang 2 ½ kaki. Tandakan terlebih dahulu bahagian tengah kayu.
Kemudian, tebuk bahagian tersebut menggunakan mata gerudi ½ inci pada kedudukan 1 ½ dari atas dan satu lagi 3 inci dari bahagian bawah. (rujuk gambar 3)
Dua lubang yang telah ditebuk kemudiannya di potong bahagian dalamnya menggunakan jig saw menyambungkan kedua-dua lubang tersebut.
Bahagian atas papan pula akan dibentuk (tanpa membuangkan bahagian tengahnya) dengan bahagian hujung selaras dengan ukuran sisi papan utama. (rujuk gambar 4)
Cantum struktur utama
Mula cantumkan kayu berukuran 1 inci x 8 inci dengan panjang 5 ½ kaki untuk kedua-dua bahagian sisi rekaan dengan kayu 2 inci x 4 inci dengan panjang 5 ½ kaki pada bahagian dalamnya.
Sapukan permukaan cantuman menggunakan gam kayu sebelum memasukkan skru untuk menetapkannya. (rujuk gambar 5)
Ini diikuti dengan mencantumkan kayu berukuran 1 inci x 8 inci dengan panjang 2 ½ kaki pada bahagian atas dan bawah rekaan. (rujuk gambar 6)
Papan lapis dengan panjang 5 ½ kaki dan lebar 28 inci pula akan ditempatkan pada bahagian dalam rekaan. Sebelum itu, permukaan kayu akan disapukan dengan wood stain berwarna hitam. Ini diikuti dengan pemasangan kayu ½ inci dengan kepanjangan 28 inci sebanyak 10 batang pada permukaan papan lapis yang akan menentukan ruangan markah permainan. (rujuk gambar 7)
Sekeping papan lapis akan dibentuk zig-zag menggunakan jigsaw berfungsi sebagai permukaan untuk menampung bola permainan. (rujuk gambar 8)
Langkah akhir
Setiap ruangan dalam rekaan yang telah dibahagikan dengan kayu ½ inci berkepanjangan 28 inci sebelumnya akan ditandakan dengan nombor. Kertas yang dipotong dengan bentuk nombor akan digunakan sebagai templat sebelum disemburkan dengan cat. Dengan langkah akhir ini, awda kini boleh mula mengumpulkan pemain untuk mengadakan pertandingan persahabatan. (rujuk gambar 9)
Sedikit tip ketika proses pembuatan
• Permukaan potongan yang tidak bersih terhasil oleh bilah mesin pemotong boleh diratakan menggunakan kertas pasir berukuran 80 grit.
• Permukaan cantuman perlulah rata dan bebas daripada sebarang bahan minyak sebelum menyapukan gam kayu agar cantuman benar-benar kukuh.
• Bagi memastikan alat pengepit kayu diketatkan dengan sempurna, kayu yang dicantumkan seharusnya tidak bergerak ketika digerakkan selain terdapat lelehan gam kayu pada permukaan cantuman.