KUCHING, 23 DIS – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui UNIMAS Entrepreneurship Centre (UEC) dipilih sebagai rakan strategik e-Usahawan Hab oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
UNIMAS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pengumuman mengenai perkara itu dibuat sempena Majlis Perasmian Penutupan Karnival #UNIMASpreneur 2024 yang diadakan di universiti itu pada 14 Disember lalu.
Menurutnya, pengiktirafan UNIMAS sebagai Hab e-Usahawan itu bertujuan untuk melengkapkan ekosistem e-Usahawan MDEC dalam usaha menggalakkan penglibatan usahawan komuniti sekitar UNIMAS melibatkan diri dalam keusahawanan digital.
“Selain komitmen diberikan UNIMAS, lokasi yang strategik juga menjadi faktor utama UNIMAS dipilih menjadi satu daripada rangkaian Hab e-Usahawan.
“Melalui pengiktirafan ini, UNIMAS akan menerima segala maklumat mengenai latihan dan program anjuran MDEC. Pelajar serta usahawan komuniti setempat boleh mendapatkan informasi, khidmat nasihat, dan bimbingan berkaitan keusahawanan digital di UNIMAS,” menurut kenyataan itu.
Dalam majlis sama, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) turut mengumumkan kerjasama strategik dengan UEC bagi pelaksanaan Program Uni-Challenge 2024, inisiatif yang bertujuan memupuk bakat keusahawanan di peringkat awal, khususnya dalam kalangan pelajar universiti.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mencetuskan idea-idea perniagaan inovatif dalam keusahawanan, selain mendapatkan bimbingan langsung daripada pakar industri,” menurut kenyataan itu. – Bernama