Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNIMAS mula kajian amalan masyarakat pribumi terhadap perubahan iklim

    KUCHING – Institut Pengajian Borneo Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sedang memulakan kajian mengenai amalan tradisi dan pengetahuan penduduk pribumi Borneo yang dapat membantu menangani masalah perubahan iklim global.

    Pengarahnya Prof Madya Dr Poline Bala berkata penyelidikan yang bertajuk “Climate Change, Biodiversity and Borneo Indigenous Peoples” akan mendalami peranan masyarakat pribumi sebagai penjaga ekosistem rapuh yang sangat rentan terhadap pemanasan global.

    “Pengetahuan dan amalan tradisi masyarakat ini misalnya mengenai cara mereka mengekalkan persekitaran daripada terimpak dengan perubaan iklim dan cara mereka menyesuaikan diri, boleh dijadikan pengajaran mengenai usaha global untuk mengekalkan ekosistem kritikal di dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kajian ini bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai kesan perubahan iklim terhadap hutan hujan Borneo menerusi pengalaman masyarakat pribumi serta strategi mitigasi mereka selain penyesuaian masyarakat dalam mengekalkan cara hidup tradisional sambil memelihara alam sekitar.

    “Hasil kajian ini akan menangani dua Matlamat Pembangunan Lestari (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (SDGs), iaitu SDG# 13 yang menuntut tindakan segera untuk memerangi perubahan iklim dan kesannya (dan) SDG # 15 iaitu keperluan untuk memulihara dan menguruskan hutan secara mampan dan menghentikan kehilangan biokepelbagaian,” katanya.

    Institut Pengajian Borneo Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sedang memulakan kajian mengenai amalan tradisi dan pengetahuan penduduk pribumi Borneo yang dapat membantu menangani masalah perubahan iklim global. – Agensi
    Kajian ini bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai kesan perubahan iklim terhadap hutan hujan Borneo menerusi pengalaman masyarakat pribumi serta strategi mitigasi mereka selain penyesuaian masyarakat dalam mengekalkan cara hidup tradisional sambil memelihara alam sekitar. – Agensi

    Dr Poline berkata pasukan penyelidik terdiri daripada Dr Gaim James Lunkapis dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Haijon Gunggut dari Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) dan Dr Roger Harris, Profesor Pelawat dan Felo Penyelidik Kanan di UNIMAS.

    Metodologi kajian mereka ialah dengan mengadakan temu bual dengan penduduk pribumi di Taman Negara berhutan Borneo, menjalankan sesi perbincangan berfokus dan melakukan pemerhatian secara langsung untuk memahami pengetahuan dan amalan penduduk pribumi di Borneo berkaitan perubahan iklim global dan pemuliharaan biodiversiti.

    “Kajian ini akan menjurus kepada pengajaran penting kepada dunia dalam mencapai matlamat SGD secara lebih meluas dan demi masa depan keberlangsungan bumi kita,” katanya, sambil menambah bahawa projek ini dibiayai oleh Rangkaian Universiti Komprehensif Malaysia (MCUN), yang merupakan jaringan kerjasama antara UNIMAS, UiTM dan UMS. Jaringan komprehensif, yang mempunyai dana pemula sebanyak RM15,000 untuk kajian ini, bertujuan untuk mempromosikan kerjasama antara ketiga-tiga institusi berkenaan dalam menjalankan penelitian dan pengajaran secara kerjasama yang meliputi pertukaran mahasiswa dan kakitangan.

    “Kami berharap dapat memperluaskan inisiatif ini kepada individu dan agensi lain yang berminat untuk menerokai cara dalam mengintegrasikan dan menyesuaikan pengetahuan masyarakat pribumi serta penduduk tempatan.

    “Ini termasuk dalam pelaksanaan dasar atau praktis untuk menangani risiko, bahaya dan kerentanan yang disebabkan oleh perubahan iklim,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda