Tuesday, March 18, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA adakan raptai Hafl Al-Takharruj

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Bagi memastikan kelancaran Majlis Hafl Al-Takharruj ke-9 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang akan diadakan pada 29 September ini, raptai penuh bagi majlis tersebut telah diadakan pada hari ini, di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Hadir bagi menyaksikan raptai penuh tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Pendaftar UNISSA, Hajah Surianah binti Haji Alias selaku pengerusi Hafl Al-Takharruj ke-9, semasa ditemu bual Media Permata menjelaskan bahawa pada tahun ini, seramai 289 orang graduan dan penerima sijil diploma akan menerima ijazah dan sijil masing-masing.

    Daripada jumlah orang tersebut, tiga daripadanya ialah penerima Ijazah Doktor Falsafah, 20 graduan Ijazah Sarjana dan 174 graduan Ijazah Sarjana Muda, manakala itu, 84 yang lain penerima Diploma Tertinggi Kebangsaan iaitu Diploma Tertinggi Kebangsaan Sistem Keadilan Jenayah Syariah.

    Hajah Surianah berharap agar para graduan UNISSA akan mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang bagi menyara kehidupan mereka dan keluarga.

    “Graduan UNISSA bukan sahaja telah mendapat ilmu daripada bidang masing-masing seperti Usuluddin, Syariah, Bahasa Arab, Perbankan Islam, malah mereka telah belajar tentang kepimpinan, kerja berpasukan, membuat projek dan lain-lain melalui kursus kokurikulum atau apabila mereka mengikuti aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh UNISSA.

    “Lebih penting ialah bagi mereka untuk dapat menggunakan dan mengongsikan ilmu pengetahuan yang mereka perolehi sepanjang mereka menuntut di UNISSA dan seterusnya turut serta dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” tambah Hajah Surianah lagi.

    Beliau juga berharap agar para graduan akan sentiasa menjaga nama UNISSA sebagai sebuah universiti Islam tulen di mana graduan perlu memaparkan dan mempunyai sahsiah yang baik, saleh, berwibawa dan berharga.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah ketika hadir menyaksikan raptai penuh berkenaan.

    Suasana semasa berlangsungnya raptai penuh Majlis Hafl Al-Takharruj ke-9 UNISSA.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda