BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Sebagai menandakan berakhirnya acara-acara Sukan Tahunan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang telah berlangsung sejak awal bulan Mac, UNISSA melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar telah mengadakan Majlis Penutup Sukan Tahunan dan Hari Usrah UNISSA 2021 baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, yang juga menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan.
Turut hadir pada majlis ini ialah pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, para pensyarah, kakitangan-kakitangan, mahasiswa dan mahasiswi serta ahli keluarga warga UNISSA.
Menurut kenyataan yang diterima hari ini, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan acara senamrobik.
Antara acara sukan yang dipertandingkan adalah perlawanan beach volleyball, mini golf di samping permainan hiburan seperti menarik upih pinang, tiup belon, makan roti bergantung, lari ikat kaki dan banyak lagi mengikut kategori lelaki, perempuan dan kanak-kanak.

Acara dimeriahkan lagi dengan cabutan bertuah kepada warga UNISSA yang mana hadiah-hadiah tersebut adalah sumbangan pegawai-pegawai, kakitangan dan pensyarah UNISSA.
Acara kemuncak sukan diteruskan dengan perlawanan akhir penentuan tarik kalat yang telah dijuarai oleh rumah As-Syatirun manakala tempat kedua dimenangi oleh rumah Al-Mufakkirun.
Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah-hadiah kepada pemenang acara-acara Kejohanan Sukan Tahunan UNISSA 2021 serta Pengumuman Rumah Terbaik dan Atlet Terbaik bagi Kejohanan Sukan Tahunan UNISSA 2021.
Tahun ini, rumah Al-Mufakkirun dengan tema warna kuning telah menjadi johan rumah keseluruhan.
Tujuan acara ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan warga UNISSA di samping untuk menggalakkan semangat persaingan yang sihat melalui aktiviti sukan.