Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menganjurkan Ma’rad Al-Kutub (Ekspo Buku) yang pertama sempena 10 tahun penubuhan UNISSA dalam menghidupkan suasana perpustakaan dan menggalakkan budaya ilmu dalam kalangan pelajar dan tenaga akademik.
Pelancarannya hari ini telah disempurnakan Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Majlis pelancaran berkenaan turut diselajurkan dengan Pelancaran Pertukaran Bahan Terbitan di antara UNISSA dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan Dr. Haji Norarfan menyempurnakan pertukaran bagi UNISSA dan KUPU SB disempurnakan oleh Pemangku Raes, Dr. Haji Abdul Hadzmin bin Abang Haji Taha.
Ma’rad Al-Kutub yang akan berlangsung sehingga 1 Februari itu dihasrat dapat memberikan pendedahan dan meningkatkan kepekaan pelajar, tenaga akademik dan warga UNISSA dengan bahan rujukan ilmiah yang terdapat di negara ini.
Dr. Haji Norarfan dalam ucapannya berkata, Ma’rad Al-Kutub adalah sebagai pencetus kepada perkembangan ilmu dan penggerak bagi kecemerlangan akademik di negara ini dan tidak dinafikan bahawa Ma’rad Al-Kutub juga akan mencetuskan semangat mencintai ilmu khususnya dalam kalangan generasi muda masa kini.


“Walaupun Ma’rad Al-Kutub ini diadakan dalam sekala yang kecil tapi ia mempunyai sumbangan besar terhadap perkembangan kecemerlangan akademik di negara ini sekali gus memperkaya khazanah ilmu khususnya ilmu agama Islam,” tambahnya.
Beliau seterusnya berharap, Ma’rad Al-Kutub pada masa akan datang akan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti diskusi wacana yang menampilkan penulis buku, bengkel penulisan dan lain-lain aktiviti ilmiah yang bersesuaian.
Menyentuh mengenai pertukaran bahan terbitan antara UNISSA dan KUPU SB, Dr. Haji Norarfan menjelaskan bahawa ia bertujuan untuk simpanan perpustakaan masing-masing bagi memenuhi tiga keperluan bahan rujukan ilmiah berkaitan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di kedua-dua institusi.
Beliau juga berharap, pertukaran bahan terbitan berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan selain berharap pelajar dan tenaga akademik memanfaatkan sepenuhnya buku-buku rujukan terbitan UNISSA dan KUPU SB.
Pertukaran itu juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan penulis dan penyelidik akademik tempatan terutama dalam bidang agama dan Bahasa Arab kepada pelajar dan tenaga akademik di kedua-dua buah institusi berkenaan.
Ma’rad Al-Kutub itu disertai oleh 10 penerbit dari agensi kerajaan termasuk Pusat Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA dan empat toko buku.