Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Nasib rakyat Palestin di Gaza terus mendapat perhatian daripada masyarakat Negara Brunei Darussalam dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mengadakan program amal, Dari UNISSA, untuk GAZA bersempena Kempen Hari Bertindak 2024 yang berlangsung di Dewan Gimnasium dan Auditorium UNISSA, Gadong, hari ini.
Program amal bagi kutipan dana bagi tabung kemanusiaan rakyat Palestin di Gaza, 2023 itu dianjurkan oleh Unit Kokurikulum Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa dengan kerjasama Kumpulan Al-Qudwah, UNISSA.
Hadir bagi menyempurnakan perasmian program amal dan menyaksikan serta melawat tapak-tapak jualan amal ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Unit Kokurikulum Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA, Dr Hajah Ummi Fai’zah binti Haji Abdul Rahman menyatakan program itu juga merupakan platform positif bagi pelajar-pelajar untuk berkarya, kreatif mengikuti potensi dan kapasiti masing-masing sambil melaksanakan khidmat masyarakat.
Beliau menerangkan bahawa program itu berjaya mengumpulkan 16 vendor terdiri daripada pelajar-pelajar UNISSA di mana 50 peratus hasil daripada jualan itu akan disumbangkan ke tabung kemanusiaan rakyat Palestin berkenaan.



Dr Hajah Ummi Fai’zah turut menyatakan harapan program itu akan memberikan impak yang tinggi kepada pelajar khususnya dalam kekal berakhlak mulia, sentiasa melazimkan keperibadian muslim, dekat dengan Al-Quran, sabar dan tabah dengan apa jua ujian hidup.
Majlis diteruskan dengan perasmian program oleh Dr Haji Norarfan dan seterusnya mengadakan lawatan ke pameran dan tapak jualan di mana ia diusahakan oleh mahasiswa dan mahasiswi serta pensyarah UNISSA.
Manakala itu, di Dewan Auditorium, sesi rancangan bual bicara motivasi bertajuk Reflection on Palestine, count your blessings dibincangkan oleh panel pensyarah UNISSA iaitu Dr Kamaru Salam bin Yusof, Dr Hajah Rafizah binti Haji Abdullah dan Dr Hajah Nur Annisa binti Haji Sarbini dengan Raes Unit Perhubungan dan Penerangan, Halalan Thayyiban Student Society 2023/2024, Awang Ahmad Amani Rusyaidi bin Ramli selaku moderator bagi sesi bual bicara berkenaan.
Pada sebelah petang, program disambung dengan aktiviti persembahan seperti bacaan tarannum Al-Quran, dikir, tausyeh, nasyid, hadrah dan sketsa mengenai Palestin yang diungkayahkan oleh mahasiswa dan mahasiswi daripada pelbagai kumpulan, pasukan serta bengkel kokurikulum UNISSA.
Turut diadakan adalah sesi rancangan bual bicara minum petang bertajuk Memahami situasi di Palestin, Muhasabah Kesyukuran di Brunei Darussalam, yang disampaikan oleh pelajar sarjana dari Pusat Pendidikan Mazhab Syafie, Awang Ahmad Ahyad bin Haji Amynoor dan pelajar doktor falsafah yang berasal dari Gaza, Palestin, Jehad Mhanna dengan Dayangku Siti Rasyidah Hannani binti Pengiran Dr Haji Mohd Khairol Asmiee selaku moderator.
Situasi yang berlaku pada ketika ini adalah susulan daripada penindasan dan kezaliman terhadap rakyat Palestin yang menyebabkan penduduk dunia termasuklah di Negara Brunei Darussalam di mana mereka turut menyokong usaha bagi membebaskan Palestin daripada kemelut yang dihadapinya melalui media sosial.
Sehubungan itu, UNISSA sebagai sebuah universiti Islam di Brunei Darussalam adalah wajar menjadi sebuah platform sebagai langkah bagi meraikan solidariti orang awam melalui saluran yang betul di samping memberi kefahaman kepada mereka mengenai isu-isu berkenaan Palestin daripada sumber yang sahih.
Program itu bermatlamat bagi menyebarkan kesedaran dan kefahaman mengenai isu-isu kemanusiaan di Palestin, memupuk elemen keusahawanan kepada pelajar untuk berjual sambil beramal serta sebagai platform bagi pelajar berkarya dan berkreativiti melalui persembahan sambil melaksanakan khidmat masyarakat.

