Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA berperanan tangani kemiskinan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berperanan besar untuk menangani isu kemiskinan dengan berganding bahu melaksanakan penyelidikan-penyelidikan bersesuaian demi membasmi masalah sosial itu di negara ini.

    Daripada hasil penyelidikan itu, cara atau jalan dapat dikenal pasti untuk membantu golongan terbabit melalui penjanaan pendapatan dan peningkatan taraf hidup dan seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah sempena Majlis Hafl Al-Takharruj ke-13, UNISSA yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Terdahulu Baginda Sultan bertitah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) adalah agenda global yang ditekankan untuk dilaksanakan oleh setiap negara dengan Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan berusaha ke arah mencapai matlamat berkenaan.

    “Daripada 17 matlamat yang telah disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) antaranya ialah sifar kemiskinan.”

    Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah. – Gambar oleh Muiz Matdani
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai pada Majlis Hafl Al-Takharruj ke-13, UNISSA. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Kemiskinan merupakan isu sosial yang boleh menjejaskan kesihatan, kesejahteraan, keselamatan dan pendidikan, sekali pun di negara ini, isu kemiskinan tidaklah sebesar di negara membangun lainnya, namun ia tetap perlu ditangani, tegas Baginda.

    “Dalam Islam, pembangunan sosial masyarakat menjadi tanggungjawab setiap individu dan lambang keutuhan iman. Ini jelas apabila Baginda Rasulullah SAW menitikberatkan isu sosial sehingga Baginda menafikan kesempurnaan iman bagi siapa yang tidur kekenyangan sedang dia mengetahui jiran tetangganya tidur dalam kelaparan,” titah Baginda.

    Isu kemiskinan, tekan Baginda, juga berkait rapat dengan isu sekuriti makanan di mana makanan yang berkhasiat diperlukan untuk kesihatan fizikal dan mental.

    “Individu yang sihat akan menjadi sumber tenaga kerja berkualiti yang boleh menyumbang secara berkesan terhadap pembangunan negara.

    “Kebetulan pula dengan wujudnya Fakulti Pertanian di UNISSA, Beta percaya dengan kepakaran yang dimiliki akan dapat menyumbang penaiktarafan ekosistem pertanian dan peningkatan kualiti, hasil pengeluaran pertanian dan pemakanan negara,” tekan Baginda lagi.

    Selain itu, Baginda juga menyatakan ia dapat membantu golongan kurang berkemampuan untuk menambah sumber pendapatan sekali gus menyokong agenda global ke arah mencapai matlamat kebuluran sifar dalam SDG.

    Dalam hubungan itu juga, Baginda menyatakan rasa gembira mengetahui UNISSA adalah merupakan satu-satunya universiti tempatan yang tersenarai dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023 dalam penilaian prestasi universiti global yang mendukung agenda PBB ke arah mencapai SDG.

    “Pencapaian ini membuktikan bahawa UNISSA terus mendapat pengiktirafan global dan berkembang seiring dengan tuntutan semasa,” titah Baginda.

    Menyentuh mengenai kualiti program pula, Baginda mengambil maklum program dwi-ijazah syariah dan undang-undang yang sedang berjalan ketika ini, telah ditawarkan di bawah Fakulti Syariah dan Undang-undang.

    Program yang ditawarkan itu menurut Baginda tidak ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam tempatan yang lain selain UNISSA sahaja yang mana ia suatu kelebihan bagi UNISSA.

    Bagaimanapun, untuk mencapai kesan lebih baik dan kualiti tinggi, Baginda berpendapat agar ia dijadikan dua fakulti yang berasi-ngan iaitu Fakulti Syariah dan Fakulti Undang-undang.

    Dengan adanya dua fakulti berasingan itu, dapatlah masing-masing beroperasi lebih teratur dan memberikan tumpuan khusus supaya modul atau kursus di dalamnya boleh dirangka dengan lebih terarah di samping melahirkan lulusan-lulusan berkualiti yang memenuhi piawaian antarabangsa.

    “Adapun Fakulti Undang-undang akan menyediakan pengajian peringkat tinggi dalam bidang perundangan syariah dan sivil iaitu satu cara, untuk menghasilkan pengamal-pengamal perundangan yang celik dan pakar dalam kedua-dua perundangan syariah dan sivil sekali gus,” tekan Baginda lagi.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda