BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) baru-baru ini, telah menghadiri Mesyuarat ke-6 dan Mesyuarat Agung Biennial ‘Asian Islamic Universities Association’ (AIUA) yang telah berlangsung di Grand Dafam Bela Ternate, Kota Ternate yang dikendalikan oleh Institut Agama Islam Negeri (IAIN), Ternate, Muluku Utara, Indonesia selaku tuan rumah.
Hadir mewakili Rektor UNISSA ke mesyuarat tersebut ialah Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad. Mesyuarat AIUA kali ke-6 juga diselajurkan dengan Mesyuarat Agung Dwitahunan (Biennial General Meeting) bagi memilih dan melantik Presiden serta ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif AIUA yang baru.
Dalam mesyuarat agung tersebut, UNISSA telah diberikan kepercayaan untuk dilantik semula selaku Bendahari AIUA bagi tempoh dua tahun mulai 2017 hingga 2019.
Mesyuarat tersebut juga telah menyaksikan perlantikan Presiden baru AIUA, Rektor Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga (UIN SUKA), Yogyakarta, Profesor Dr. K.H. Yudian Wahyudi bagi menggantikan Presiden Pertama AIUA, Rektor Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim (UIN SUSKA) Riau, Profesor Munzir Hitami.

Manakala Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Malaysia, Dr. Mizan Aslam pula ilantik selaku Timbalan Presiden AIUA dan Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Malaysia, Tan Sri Profesor Dr. Nordin Kardi dilantik selaku Setiausaha Agung AIUA.
Sementara tiga buah institusi pengajian tinggi yang terdiri dari Universitas Islam Negeri Sunan Ampel (UIN SA), Surabaya; IAIN Ternate, Muluku Utara dan Universiti Fatoni, Thailand pula telah dilantik selaku ahli Eksekutif AIUA.
AIUA ditubuhkan pada bulan April 2015 dan bertujuan untuk membantu institusi anggota bagi memperkasa diri mereka melalui kerjasama sesama ahli dan untuk mencapai kecemerlangan antarabangsa dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan awam dengan menggunakan pendekatan Islam yang holistik. Sehingga kini, keahlian AIUA telah mencapai melebihi dari 70 buah insitiusi pengajian tinggi dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand.
Semasa berada di Ternate, Timbalan Rektor UNISSA juga telah diberikan penghormatan oleh Dr. Abdurahman I. Marasabessy, Rektor IAIN Ternate untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Raya Al Munawwar, yang merupakan masjid pusat di Kota Ternate.