Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA, FEKIm dan IBFIM jalin kerjasama pendidikan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mencatat sejarah tersendirinya apabila menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM), hari ini.

    Majlis penandatanganan yang berlangsung secara maya di universiti berkenaan disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Raja Dato’ Reza Raja Zaib Shah dan Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    Menandatangani bagi pihak FEKIm ialah Dekan, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani manakala itu, IBFIM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Yusry bin Yusoff.

    Terdahulu majlis penandatanganan, montaj yang memberi gambaran menyeluruh mengenai perjalanan awal bermulanya kolaborasi antara FEKIm UNISSA dan IBFIM hingga majlis penandatanganan tersebut telah ditayangkan.

    Dr Abdul Nasir dalam ucapannya menjelaskan, antara lain tujuan utama penandatanganan memorandum berkenaan adalah untuk mempromosi dan mengeratkan hubungan persahabatan antara kedua-dua pihak iaitu UNISSA dengan IBFIM selain mempertingkatkan prestasi pelajar dalam bidang pendidikan kewangan Islam di UNISSA.

    TYT Raja Dato’ Reza Raja Zaib Shah bersama pegawai lain pada majlis menandatangani memorandum perjanjian yang diadakan secara maya di UNISSA kelmarin. – Gambar serahan UNISSA

    Di samping itu, ia juga mempromosikan kerjasama dan kolaborasi dalam bidang pendidikan dan latihan di bawah program Associate Qualification in Islamic Finance (AQIF) yang ditawarkan oleh IBFIM atas dasar timbal balik dan saling menguntungkan kepada kedua-dua pihak yang mana perjanjian tersebut akan berkuat kuasa untuk tempoh tiga tahun.

    Selain itu, beliau juga menekankan bahawa penandatanganan memorandum itu merupakan salah satu langkah penting dan usaha berkesinambungan yang sangat signifikan dalam membangunkan kapasiti sumber tenaga manusia yang berilmu pengetahuan, berkepakaran, kompeten dan siap siaga menghadapi dan menangani cabaran dan perkembangan kewangan Islam di abad ke-21 serta berupaya memacu pertumbuhan, perkembangan, dan pemerkasaan ekosistem kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam.

    Hal itu, tambah beliau, dilihat sejajar dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai salah sebuah pusat kewangan Islam bertaraf antarabangsa.

    Turut hadir pada majlis tersebut ualah Pemangku Timbalan Rektor UNISSA, Dr Arman bin Haji Asmad, para pensyarah FEKIm UNISSA dan pegawai-pegawai kanan serta ahli Lembaga Pengarah IBFIM.

    Majlis penandatanganan MoA tersebut diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda