Jumaat, 21 November 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA galak inovasi pelajar melalui teknopreneurship

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Dalam usaha memperkasa pelajar untuk berinovasi dengan berpaksikan nilai-nilai Islam serta membina daya tahan dan semangat dalam menjana idea bernilai tambah yang memberi manfaat kepada ummah dan masyarakat, Minggu Teknopreneurship anjuran Fakulti Teknologi Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah dirasmikan hari ini.

    Hadir merasmikan minggu berkenaan, Rektor Unissa, Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku tetamu kehormat majlis.

    Dekan Fakulti Teknologi Islam, Profesor Dr Haji Abdul Hafidz bin Haji Omar dalam ucapan alu-aluannya, menegaskan bahawa tema tahun ini iaitu Berinovasi dengan Teknologi, Menginspirasikan Teknousahawan Islam: Memanfaatkan Inovasi Digital untuk Usaha yang Berimpak dan Lestari mencerminkan hasrat universiti untuk melahirkan pelajar yang berdaya cipta, berfikiran kritikal, dan berpandangan jauh dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

    Menurut beliau, Minggu Teknopreneurship ini menjadi platform strategik bagi pelajar mempersembahkan projek inovasi, membentangkan idea perniagaan berasaskan teknologi serta meneroka peluang memulakan perniagaan baharu (start-up).

    Program tersebut juga menghubungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman industri sebenar bagi melahirkan pereka cipta dan teknousahawan Islam masa hadapan.

    Dekan Fakulti Teknologi Islam, Profesor Dr Haji Abdul Hafidz menyampaikan ucapan aluan-aluan di majlis itu. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama industri dalam memberi bimbingan serta perkongsian ilmu kepada pelajar agar lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang kompetitif.

    Katanya lagi, melalui penglibatan pakar industri, pelajar bukan sahaja berkemahiran dalam teknologi tetapi juga memiliki kebolehan komunikasi, kerja berpasukan dan keusahawanan yang mantap.

    Dekan berkenaan turut menyampaikan penghargaan kepada pihak universiti, rakan industri dan para penaja atas sokongan berterusan yang sentiasa mendorong dan memperkasa pelajar dalam menonjolkan bakat serta kemampuan inovatif mereka.

    Beliau turut berharap agar kerjasama strategik dengan pihak industri akan diteruskan melalui tajaan projek pelajar terpilih yang berpotensi dikembangkan sebagai perniagaan sebenar, sama ada melalui modal permulaan atau pembiayaan penyelidikan.

    Dalam ucapannya juga, beliau menyeru para pelajar agar tidak berhenti berfikir, menyelidik dan berinovasi.

    “Dengan kemahiran teknologi, anda mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri, membina daya berdikari serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara,” ujarnya.

    Selain menambah, bidang perniagaan kini melangkaui sektor makanan dan runcit, dengan teknologi membuka ruang yang lebih luas untuk inovasi dan keusahawanan.

    Melalui inovasi, katanya, umat Islam dapat mengembalikan kegemilangan tamadun Islam dan memacu kejayaan masa hadapan.

    Minggu Teknopreneurship dihasrat akan menjadi sumber inspirasi kepada idea-idea baharu, kerjasama strategik serta kejayaan masa hadapan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda