BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Seramai 14 orang pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah berlepas ke Kaherah, Mesir bagi menyertai Program Pengajian Di Luar Negara (SAP) dan Program Pertukaran Pelajar (SEP) di Universiti Al-Azhar, salah sebuah institusi pengajian Islam tertua dan paling berprestij di dunia, baru-baru ini.
Penyertaan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UNISSA dalam memperkukuhkan jaringan akademik antarabangsa serta memberi peluang kepada para pelajar menimba pengalaman pembelajaran dan kehidupan di luar negara.
Daripada jumlah tersebut, lima orang pelajar mengikuti pengajian di Fakulti Bahasa Arab dalam Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Terjemahan, iaitu Dayang Nur Nawwarah binti Ewardy Irwan, Dayang Nur Syahmina binti Haji Sha’arani, Awang Mohammad Azri bin Abd Hamid, Dayang Nur Kaisah Khairunnisa binti Ibrahim dan Awangku Abdul Basit bin Pengiran Haji Zaini.
Empat orang pelajar menyertai Fakulti Syariah, termasuk Awang Haadii Syaamil bin Haidi dan Dayang Bani Nurun Naqibah binti Asbinin yang mengikuti jurusan Fiqh dan Kehakiman, manakala Dayang Nur Izzati Basirah binti Abdul Malik dan Ruwaida Katemmadi mengikuti jurusan Fiqh dan Usul.
Selain itu, lima orang pelajar diterima di Fakulti Usuluddin. Dayang Ummu Umairah binti Haji Nor Ali mengikuti jurusan Tafsir dan Hadith, manakala Dayang Nur Aisyah binti Mohammad Ismadi, Dayang Siti Nur Mashitah binti Shahrul Khushairi dan Dayangku Nur Amalia Aniisa binti Pengiran Haji Jefri mengikuti jurusan Aqidah dan Dakwah. Awang Muhammad Adi Syazani @ Muhammad Izz Raziq bin Shahri pula melanjutkan
pengajian dalam jurusan Tahfiz dan Qira’at.
UNISSA yakin bahawa pengalaman menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar akan melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing, berwawasan global dan berupaya menjadi pemimpin yang menyumbang kepada pembangunan agama, masyarakat dan negara.
Program itu sekali gus memperkukuhkan kedudukan UNISSA sebagai pusat kecemerlangan akademik bertaraf antarabangsa sejajar dengan aspirasi Negara Brunei Darussalam.


