UNISSA hargai sukarelawan alumni

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Alumni telah mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Insentif Sukarelawan UNISSA yang diungkayahkan bersama Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi Persatuan Alumni UNISSA sesi 2018/2021 pada 14 November lalu secara dalam talian.

Menurut kenyataan UNISSA, majlis yang julung kalinya diadakan itu adalah bagi meraikan kira-kira 55 orang penerima terdiri daripada alumni UNISSA yang telah terlibat dalam menjayakan beberapa aktiviti kelolaan Persatuan Alumni UNISSA khususnya Program Kursus Asas Muamalat dan Keusahawanan (KASUS) 2020 dan Program Jawlah Syawal 1442H serta program Sukarelawan Belia COVID-19.

Kenyataan menyatakan, sumbangan insentif itu dihasratkan dapat menyuntik semangat kesukarelawanan dan budaya berpemedulian dan berkesanggupan para alumni khasnya dalam menanai dan memikul tanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan penyampaian sijil dan sumbangan ialah Penolong Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UNISSA, Dr Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu.

Dalam ucapannya, Dr Hajah Lilly Suzana menyatakan bahawa penglibatan para alumni selaku sukarelawan adalah bukti keprihatinan, rasa tanggungjawab dan kekitaan para alumni bagi sama-sama mencurahkan bakti ke arah kebaikan demi agama, bangsa dan negara tercinta.

Beliau berharap keterlibatan para alumni sebagai sukarelawan tidak akan terhenti setakat ini sahaja, malah akan menjadi penyuntik semangat untuk terus proaktif melibatkan diri sebagai sukarelawan.

Antara alumni yang diraikan pada majlis secara maya berkenaan. – Gambar serahan UNISSA