Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan UNISSA
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) terus bergiat aktif menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi luar negara melalui penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) dengan Jamiah Ashrafia Lahore, Pakistan berlangsung hari ini secara dalam talian melalui aplikasi Zoom.
Menandatangani bagi pihak UNISSA, Rektor UNISSA ialah Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal manakala itu, bagi pihak Jamiah Ashrafia Lahore, Pakistan ditandatangani oleh Canselor Jamiah Ashrafia, Hafiz Fazal Ur-Rahim.
Penandatanganan MoU tersebut disaksikan sama oleh Mantan Pakar Perundangan Islam yang pernah berkhidmat di Negara Brunei Darussalam sejak tahun 1988 iaitu Profesor Dato Seri Laila Jasa Profesor Dr Anwarullah.
Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh wakil setiap institusi masing-masing yang mana mewakili pihak UNISSA, diketuai oleh Awang Muhammad Firdaus bin Haji Sait, mahasiswa daripada Fakulti Teknologi Islam, UNISSA dan mewakili pihak Jamiah Ashrafia, dipimpin oleh Muhammad Saeed Ahmad Anayatullah.
Canselor Jamiah Ashrafia dalam ucapannya mengongsikan penubuhan awal universiti berkenaan yang merupakan institusi pendidikan Islam tertua yang terletak di Lahore, Republik Pakistan dan mula ditubuhkan pada bulan September 1947.
Universiti tersebut diasaskan oleh Maulana Mufti Muhammad Hassan sejurus selepas kemerdekaan Pakistan dan sejak penubuhannya, ia telah menjadi pusat pendidikan Islam yang utama di Pakistan yang mementingkan pendidikan dengan semangat dakwah dan nilai-nilai Islam.
Sehubungan itu, pihak Jamiah Ashrafia melihat adanya keserasian dengan UNISSA dalam pengukuhan agama Islam dan berharap MoU yang termeterai itu merupakan platform untuk memperkembangkan syiar Islam di merata dunia.
Sementara itu, Dr Haji Norarafan dalam ucapan balas, mengucapkan terima kasih atas kepercayaan dan kesudian pihak Jamiah Ashrafia untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan UNISSA.
Dengan penandatanganan MoU antara kedua-dua universiti akan memperluaskan peluang mencapai tujuan ke arah perancangan-perancangan kolaborasi yang bermanfaat seperti aktiviti dan program penyelidikan, pengajian dan pendidikan ilmiah, pertukaran pelajar serta penerbitan bahan-bahan ilmiah daripada tenaga profesional UNISSA dan Jamiah Ashrafia.
Turut hadir menyaksikan majlis penandatanganan MOU tersebut ialah wakil Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Islamabad, pemangku timbalan rektor UNISSA, penolong-penolong rektor UNISSA, pegawai-pegawai serta perwakilan daripada Jamiah Ashrafia.