Tuesday, February 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA juara Pertandingan Klip Video Kreatif Islam

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Dengan mempertandingkan video bertajuk Journey of a Muslim, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) muncul sebagai juara dalam Pertandingan Klip Video Kreatif Islam antara institusi pengajian tinggi (IPT) bagi Program Semarak Hari Kebangsaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK40) yang berlangsung di Dewan Kuliah Mitsubishi, Universiti Brunei Darussalam (UBD, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Antarabangsa) dan Pemangku Penolong Naib Canselor (Korporat dan Pentadbiran) UBD, Profesor Madya Pengiran Dr Mohamad Iskandar bin Haji Petra.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama, kakitangan, pelajar-pelajar UBD dan IPT serta peserta-peserta pertandingan.

    Dalam pertandingan itu, tempat kedua disandang oleh Kumpulan Bravo Studios dari UBD dengan video bertajuk Jangan Putus Asa manakala itu, tempat ketiga disandang oleh Kumpulan Fi Amanillah juga dari UBD dengan video bertajuk Jangan Berputus Asa.

    Hakim pertandingan berkenaan terdiri daripada Pegawai Perkembangan Agama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Isham bin Awang Ismail; Penerbit Kanan, Radio Televisyen Brunei (RTB), Pengiran Mohd Khairul Amali bin Pengiran Haji Mohd Roslin; dan Penerbit Rezal Malek Faesal Productions, Pengiran Samsul Rezal Malek Faesal bin Pengiran Haji Marali.

    Dalam ulasan mereka, panel hakim menyatakan perasaan kagum dengan hasil video dan mesej yang disampaikan melalui penyertaan para peserta. Mereka turut memberikan nasihat kepada para peserta untuk meningkatkan lagi mutu hasil karya video mereka serta berharap video-video dengan mesejnya yang relevan itu, akan dikongsi melalui media sosial.

    Pertandingan dianjurkan oleh Unit Kerohanian dan Khidmat Masyarakat, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UBD dan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2023/2024, Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi UBD bagi menghidupkan lagi Program Semarak Hari Kebangsaan sempena Sambutan Ulang Tahun HK40.

    Penghantaran video bagi pertandingan itu ditutup pada 10 Mac dan pemenang-pemenang diumumkan pada hari ini.

    Ia bermatlamat untuk memberikan kesedaran akan keindahan agama Islam sebagai panduan hidup bagi merealisasikan Negara Zikir yang berteraskan Melayu Islam Beraja (MIB) dan untuk menyerlahkan bakat-bakat yang terpendam yang ada pada diri pelajar-pelajar dalam mengutarakan idea-idea inovatif, kreatif dan menyalurkan maklumat Islam kepada masyarakat Brunei.

    Profesor Madya Pengiran Dr Mohamad Iskandar bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Profesor Madya Pengiran Dr Mohamad Iskandar menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan, UNISSA semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda