Oleh Nurdiyanah R. –
Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) semakin giat menonjolkan usaha-usaha ke arah menjadi sebuah universiti yang ke hadapan yang dapat menyumbang kepada pemodenan dan kemajuan bidang pertanian.
Namu dalam masa sama ia memastikan ketersediaan dan keselamatan makanan yang mematuhi undang-undang pemakanan Islam (Halal) untuk memenuhi keperluan pengguna Islam.
Kesungguhan itu jelas terbukti menerusi beberapa projek yang diketengahkan oleh mahasiswa dan mahasiswi UNISSA bagi memeriahkan Majlis Perasmian Mahrajan Hafl Al-Takharruj (MHT) ke-13 di Kampus Sinaut UNISSA, Daerah Tutong pada penghujung Ogos lalu.
Kesedaran memelihara Muslim Consumption
Sehubungan itu, penulis berkesempatan bertemu dengan salah seorang mahasiswi daripada program Sarjana Sains Halal (Pengurusan Halal) di UNISSA, Dayang Siti Nur Afina binti Halid Khan di Pusat Makmal Saintifik Ibnu Sina, Kampus Sinaut. Dia dan kumpulannya telah berhasil menjalankan sebuah projek penyelidikan berkumpulan bertajuk Regeneration of Soil Health & Genetically Modified Organism (GMO) Investigations in Food Products in Brunei Darussalam.
Dalam penjelasannya, projek itu bertujuan untuk menentukan sama ada produk makanan yang dijual di Brunei Darussalam telah mengalami pengubahsuaian genetik atau tidak.
“Saya berharap dengan adanya projek penyelidikan sedemikian, ia dapat memelihara Muslim consumption dan secara langsung dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan membaca label makanan serta memahami isu-isu semasa demi kemaslahatan bersama,” tekannya.
Terokai Rumah Herba
Pada masa yang sama, sebagai langkah yang diambil oleh Fakulti Pertanian bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran, terutamanya berkaitan dengan tumbuhan herba perubatan, yang sejajar dengan program-program yang ditawarkan di fakulti tersebut, mereka telah mendirikan Rumah Herba. Di sana, terdapat beberapa jenis herba terpilih yang merupakan sumber alami dalam penghasilan produk makanan dan produk kesihatan diri.
Berkongsi lanjut mengenainya, Dayang Siti Nur Syakirah binti Tony, seorang mahasiswi Sarjana Muda Sains dalam Pertanian (Agrobisnes), UNISSA berkata koleksi pelbagai tumbuhan herba di Rumah Herba berkenaan adalah sebahagian besarnya daripada spesies tempatan yang wujud tidak hanya di negara kita, malah juga di Borneo.
Salah satunya ialah Hempedu Tanah, di mana daunnya direbus dalam air panas selama kira-kira setengah jam dan diminum sebagai amalan harian sekali atau dua kali. Ia dikatakan dapat membantu mengatasi masalah batuk, asma dan tekanan darah tinggi.
“Dengan kajian yang teliti mengenai ciri-ciri terapeutik tumbuhan herba, kami berharap dapat mencipta lebih banyak produk inovatif daripada sumber semula jadi serta dapat memberi dorongan kepada lebih ramai individu, terutamanya yang berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti, untuk mendalami ilmu terutamanya dalam bidang pertanian dan perubatan moden,” katanya.
Kehijauan taman serlah persekitaran
Seterusnya, penulis menemui salah seorang mahasiswa Sarjana Muda Sains dalam Pertanian (Agrobisnes), UNISSA Awang Ramadan bin Haji Ibrahim yang turut sama mengendalikan sebuah projek yang dinamakan Taman Trellis di mana ia dibina sebagai inisiatif persatuan pelajar dari Fakulti Pertanian untuk mencantikkan persekitaran Kampus Sinaut.
Projek ini adalah hasil usaha bersama pelajar-pelajar dari Fakulti Pertanian, yang dibina menggunakan pendekatan kos rendah dengan bahan utama paip polietilena (HDPE) yang mempunyai ketahanan yang terjamin.
Taman Trellis bukan sekadar projek hiasan semata-mata. Matlamat mereka adalah untuk memajukan kemahiran berkebun di kalangan pelajar dan mengukuhkan lagi semangat kerjasama dalam pasukan pelajar mereka. Dengan usaha mereka yang gigih, mereka berharap taman ini akan menjadi satu sumber inspirasi dan pengetahuan yang bermanfaat untuk seluruh komuniti universiti.
Kenali pasti sekumpulan serangga
Seorang pelajar Sarjana Muda Sains dalam Pertanian (Agrobisnes) di UNISSA, Awang Muhammad Danial Zulfan bin Abdullah Mohd Norazman, telah mengetengahkan projek penyelidikan bertajuk Nature’s Balancing Act: Beneficial Bugs and Insects. Projek itu menyoroti pentingnya serangga dalam ekosistem dan menyelidik kesan serangga itu terhadap tanaman.
Dalam penyelidikan itu, mereka telah mengumpulkan sejumlah besar serangga dan menjalankan analisis terperinci terhadap kitaran hidup serangga untuk menentukan sama ada ia memberi manfaat atau sebaliknya kepada tanaman.
“Tujuan utama projek itu adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk tempatan bahawa tidak semua serangga adalah perosak. Sebaliknya, serangga adalah heroes in disguise yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan alam dan dalam rantai makanan kita. Dengan memahami peranannya, kita dapat lebih menghargai sumbangan serangga terhadap ekosistem dan menjaga keseimbangan alam yang berharga.
Amalan kompos demi pengurusan sisa mampan
Manakala salah seorang mahasiswa Sarjana Muda Sains dalam Pertanian (Agrobisnes), UNISSA, Awang Muhd. Nur Iqbal bin Metali turut sama menyerlah sebuah projek penyelidikannya berkaitan pembuatan kompos di rumah dan penyediaan teh kompos yang bermatlamat bagi membuktikan bahawa membuat kompos adalah mudah dan menjimatkan kos di samping meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pengurusan sisa.
“Isu pengurusan sisa rumah di Negara Brunei Darussalam menimbulkan beberapa cabaran yang perlu ditangani demi kelestarian alam sekitar, kesihatan awam dan kesejahteraan keseluruhan.
Oleh itu, adalah penting di negara ini untuk menyediakan kempen pendidikan, bengkel dan sumber yang mengajar penduduk cara melakukan pengomposan di rumah dengan berkesan sebagai kaedah pengurusan sisa rumah yang mampan dan ideal,” tekannya penuh keyakinan.