Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA lakukan transformasi signifikan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Dalam usaha memahami iklim pengajian tinggi dan industri semasa, serta amalan terbaik institusi pengajian tinggi di peringkat antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah melakukan transformasi yang signifikan dengan meneliti semula tempoh pengajian program yang ditawarkan.

    Sehubungan itu, setelah melaksanakan penilaian dan maklum balas daripada pakar luar dan pengamal industri, lima program akademik di UNISSA iaitu di bawah Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Fakulti Teknologi Islam, Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban telah mula menawarkan program selama tiga tahun, berbanding empat tahun sebelum ini.

    Penawaran program dengan tempoh yang lebih pendek tetapi komprehensif itu dapat memberikan laluan lebih cepat bagi para graduan mencapai matlamat mereka dengan kos pengajian yang lebih berhemah.

    Perkara berkenaan antara yang dikongsikan oleh Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal semasa menyembahkan sembah alu-aluan pada Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA ke-14 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.

    Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan seterusnya menambah, bagi menyantuni prospek pelajar yang berpotensi menjadikan UNISSA sebagai hala tuju pengajian mereka, sehubungan itu penawaran Program Tamhidi atau dikenali umum sebagai Foundation Programme akan mula ditawarkan pada sesi pengajian akan datang dengan kerjasama Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS).

    Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan ketika menyembahkan sembah alu-aluannya. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara graduan yang diraikan di Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA ke-14. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Program yang mengambil masa setahun itu menawarkan dua cabang program iaitu Program Tamhidi in Sciences of Halal and Agriculture dan Program Tamhidi in Business, Technology and Management.

    Selain pendedahan awal berkenaan program UNISSA kepada para pelajar peringkat prauniversiti, jelasnya lagi, inisiatif berkenaan juga adalah usaha UNISSA untuk mendekatkan pelajar dengan pilihan kerjaya masa depan yang lebih fokus dan terancang.

    “Bagi memastikan hala tuju UNISSA terus terarah sebagai sebuah universiti Islam tulen yang dinamik dan progresif, hamba Kebawah Duli Tuan Patik sukacita menyembahkan bahawa UNISSA telah menyediakan Pelan Strategik UNISSA yang baharu bagi tempoh lima tahun, iaitu bermula pada tahun 2024 hingga 2028.

    “Dengan visi pelan strategik kali ini untuk menjadi sebuah pengajian tinggi Islam melahirkan generasi khayra ummah (sebaik-baik ummah), lima teras strategik utama telah digariskan, iaitu melahirkan graduan siaga masa depan, mewujudkan ekosistem pendidikan yang mampan, menghasilkan penyelidikan dan daya inovasi yang berimpak tinggi, memperkasa kecemerlangan dalam pengantarabangsaan dan pengiktirafan, serta memacu pembangunan ummah yang dinamik dan lestari,” jelas Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan.

    Dalam pada itu, beliau turut mengongsikan pada Jun tahun ini, UNISSA meningkatkan lagi kedudukannya dalam World University Rankings for Innovation (WURI) 2024 dengan menduduki tangga ke 221.

    Manakala di peringkat institusi-institusi pengajian tinggi Asia Tenggara, UNISSA berjaya mendapat kedudukan ke-51. Pada kali ini sebanyak 1,072 buah institusi pengajian tinggi telah menyertai WURI termasuklah universiti terkemuka di peringkat antarabangsa.

    Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan turut menyembahkan bahawa UNISSA buat kali kelima berturut-turut menerima anugerah GIFA Market Leadership Award 2024 melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam. Anugerah berkenaan adalah bagi kategori Education in Islamic Banking and Finance yang antara lain telah membuktikan komitmen dan dedikasi UNISSA dalam memperkasa modal insan bagi kemajuan perbankan dan kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam.

    Beliau turut mengongsikan komitmen besar UNISSA pada tahun ini terhadap pertemuan ilmuwan, sarjana dan tokoh ialah penganjuran Konferensi Islam Antarabangsa Borneo ke-15 (KAIB XV) pada Jun lalu di mana ia telah berjaya menghimpun lebih 246 pembentangan daripada serata warga akademik di rantau ini khususnya dari institusi pengajian tinggi Kepulauan Borneo.

    Sehubungan itu, pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada KAIB ke-15 berkenaan, keperluan penubuhan sebuah pusat yang bertanggungjawab memelihara dan melestari manuskrip serta melaksanakan kajian terhadapnya, maka pusat ini telah pun ditubuhkan di UNISSA.

    Pusat tersebut yang dinamakan Pusat Kajian Manuskrip Islam yang antara lain dihasratkan untuk menjadi rujukan dalam kajian manuskrip Islam dengan membangun pangkalan data koleksi manuskrip Islam dalam bentuk digital.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda