Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Sejak tahun 2016, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menerima sumbangan buku daripada Suruhanjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Negara Brunei Darussalam dan menjadikan jumlah keseluruhan koleksi tersebut kini telah mencecah sebanyak 312 buah buku.
Terbaharu, sebanyak 68 buah judul baharu disumbangkan bersempena pelancaran Sudut Buku Pakistan, yang berlangsung di Perpustakaan UNISSA, Kampus Gadong.
Pelancaran majlis pagi tadi telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Janbaz Khan. Turut hadir, Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, bersama penolong rektor, pegawai kanan, tenaga akademik, para pelajar dan wakil daripada Suruhanjaya Tinggi Pakistan.

Bermula dengan 123 buah buku pada tahun 2016 disusuli dengan 55 buah pada tahun 2018 dan 66 buah pada tahun 2019, sumbangan berterusan berkenaan mencerminkan hubungan erat dan komitmen berpanjangan dalam memperkukuh jalinan akademik serta budaya antara Brunei dan Pakistan.
Rektor UNISSA dalam ucapan beliau menzahirkan penghargaan yang tinggi atas sumbangan berterusan tersebut dengan menyatakan, “Sudut Buku ini diwujudkan hasil sumbangan ikhlas daripada Suruhanjaya Tinggi Republik Islam Pakistan. Kami ingin merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan berterusan mereka kepada UNISSA sejak tahun 2016.”

Beliau menambah bahawa buku-buku yang diterima meliputi pelbagai topik menarik termasuk sejarah Pakistan, kehidupan sosial, budaya, tamadun, puisi, adat, masakan, dan biografi tokoh-tokoh terkemuka Pakistan. “Buku-buku ini bukan sahaja memperkaya koleksi perpustakaan kami, bahkan akan menjadi sumber rujukan penting kepada pelajar, penyelidik dan masyarakat umum,” katanya.
Tambah beliau, sumbangan ini juga menjadi jambatan ilmu dan pemahaman yang memperluas perspektif terhadap Republik Islam Pakistan serta mencerminkan kesungguhan kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan melalui pendidikan dan budaya.
Sudut Buku Pakistan merupakan satu lagi hasil kerjasama erat antara UNISSA dan Suruhanjaya Tinggi Republik Islam Pakistan, yang bertujuan untuk menyediakan akses kepada sumber bacaan berkualiti serta mendorong kepada lebih banyak inisiatif akademik dan budaya.

Majlis pelancaran berkenaan diserikan dengan lawatan khas ke Sudut Buku Pakistan serta penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang kukuh dan berterusan.

UNISSA percaya bahawa pelancaran sudut tersebut akan menjadi antara pemangkin pengukuhan budaya ilmu dan membuka ruang kepada lebih banyak kolaborasi antarabangsa yang memberi manfaat kepada institusi dan negara.