Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah melakar satu sejarah dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang berlangsung di Dewan Persidangan, PDI pagi tadi.
Tetamu khas bagi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman ini ialah Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, dan Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Antara objektif MoU tersebut adalah untuk mewujudkan usaha berterusan dalam meninggikan dan menyerlahkan syi’ar Islam dengan memantapkan organisasi jabatan dan memperkasakan sumber tenaga kerja bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Pembukaan Rasmi PDI untuk menjadikan Islam sebagai Ugama Yang Utama di Negara Brunei Darussalam.
Selain itu, MoU juga bertujuan untuk menjana minda, bertukar-tukar idea, berkongsi maklumat dan percambahan fikiran dalam bidang al-Qur’an, as-Sunnah, Aqidah dan Dakwah begitu juga untuk memperkasa dan menampilkan keilmuan lebih ramai sumber tenaga manusia khususnya dari kalangan anak tempatan.
Majlis penandatanganan dimulai dengan bacaan Surah al-Fatihah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Pegawai Perkembangan Ugama PDI, Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah PDI, Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh yang mengatakan MoU berkenaan merupakan salah satu inisiatif PDI dalam menetapkan rangka kerja untuk kerjasama dan kolaborasi dengan UNISSA yang berkaitan dengan kemahiran dan kepakaran akademik, kajian, penyelidikan, penterjemahan dan penerbitan khususnya dalam bidang Al-Quran, as-Sunnah, Aqidah dan Dakwah.
Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Dekan Fakulti Usuluddin, UNISSA, Professor Dato’ Dr Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti dan disambung dengan tayangan video korporat UNISSA dan PDI.
Menandatangani bagi pihak PDI ialah Pengarah PDI, Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh dengan disaksikan oleh Penolong Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman.
Manakala bagi pihak UNISSA ialah Dekan Fakulti Usuluddin, UNISSA, Professor Dato’ Dr Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti dengan disaksikan oleh Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin, UNISSA, Dr Ahmad Baha bin Mokhtar.
Majlis menandatangani MoU berkenaan turut disaksikan oleh Setiausaha Tetap KHEU, Yang Mulia Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Rektor UNISSA, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pegawai-pegawai kanan PDI dan Dekan-Dekan UNISSA.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/01/MoU.jpg)