Monday, September 30, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA perbaiki kedudukan pencapaian inovasi WURI

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menerima penghargaan dari The World University Rankings for Innovation (WURI) bagi pencapaiannya dalam sistem ranking inovasi tersebut tahun ini.

    Penghargaan tersebut telah diterima dalam WURI Global Conference 2024 (WGC24) yang telah diadakan di Seoul, Republik Korea Selatan baru-baru ini.

    Hadir bagi menerima penghargaan tersebut ialah Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    Turut hadir dalam acara tersebut ialah Pengarah Pejabat Perancangan dan Pembangunan Strategik, Dr Muhamad Alif bin Haji Sismat dan Ketua Unit Jaminan Kualiti, Dr Zulamalibin Begawan Pehin Khatib Haji Matassan.

    Dalam penyertaan kali ke-3 tersebut, UNISSA telah berjaya meningkatkan kedudukannya dengan meraih kedudukan 221 secara keseluruhannya di mana sebanyak 13 kategori telah dinilai berasaskan tiga kriteria utama iaitu inovasi, kebolehlaksanaan dan impak.

    UNISSA juga turut meraih kedudukan 14 dalam kategori simbol / promosi, kedudukan ke-26 dalam kategori infrastruktur / teknologi, dan ke-74 dalam kategori budaya / nilai.

    Rektor UNISSA menyatakan pencapaian UNISSA dalam WURI kali ini merupakan satu pengiktirafan yang signifikan dan telah berjaya membuktikan bahawa UNISSA mempunyai kualiti dan keunikannya yang tersendiri setara dengan universiti terkemuka antarabangsa.

    Menurutnya lagi pencapaian ini juga diharapkan menjadi satu dorongan bagi seluruh warga UNISSA untuk terus berkembang maju dan meningkatkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang di arena antarabangsa, khususnya dalam memacu inovasi dan pembangunan ummah sejagat.

    WURI Global Conference kali ini dianjurkan oleh aSSIST University bersama WURI Foundation di kampus universiti tersebut bermula pada 24 hingga 26 September dengan dihadiri oleh pemimpin dan pakar dari 88 buah institusi pengajian tinggi dari 22 buah negara.

    Persidangan tersebut telah menyaksikan pembentangan pelbagai kertas kerja dan projek inovasi di mana para peserta dapat belajar dan saling bertukar pandangan agar dapat mencetuskan pelbagai idea dan inisiatif inovatif pada masa akan datang.

    Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan menerima penghargaan tersebut – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda