BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Seramai 57 peserta yang terdiri daripada dua pensyarah dan 55 pelajar Sains Halal dari Fakulti Sains Halal dan Pelancongan Mampan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menamatkan lawatan akademik dan industri selama lima hari ke Malaysia pada 21 hingga 25 September lalu.
Delegasi yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Dekan UNISSA, Dr Siti Nur Idayu Haji Matusin, bertujuan untuk memperkukuh kefahaman mengenai ekosistem halal serta memperluas jalinan kerjasama akademik dan industri antara Brunei Darussalam dan Malaysia.
Sepanjang lawatan, para peserta telah mengunjungi beberapa buah institusi dan syarikat halal terkemuka seperti Beryl’s Chocolate Shop and Museum, Wipro Unza, Management and Science University (MSU), Malaysia Halal Analysis Centre (MyHAC) JAKIM, Masjid Sri Sendayan dan Sri Nona Food Manufacturing Sdn Bhd.
Para pelajar turut berpeluang menyaksikan proses pengeluaran halal secara langsung, memahami amalan jaminan kualiti dan inovasi pembungkusan mampan menjadikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah satu pengalaman nyata.
Mereka juga didedahkan kepada keperluan pelabelan baharu dalam industri makanan Malaysia melalui bengkel yang dikendalikan oleh Penolong Pengarah Kanan, Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Ts. Nurul Hidayati Mohd Nasir.
Antara pencapaian utama ialah kejayaan pelajar UNISSA yang telah memenangi tempat kedua dan ketiga Pertandingan Poster semasa Simposium Halal Awareness and Wellness (SHaW) kali pertama anjuran MSU, sekali gus menerima pujian daripada penganjur dan pakar industri atas idea dan penyelidikan yang inovatif.
Rakan-rakan strategik yang ditemui turut menyatakan penghargaan dan memuji inisiatif UNISSA, serta menyatakan kesediaan untuk meneroka peluang penyelidikan bersama, mobiliti pelajar dan kolaborasi industri pada masa akan datang.
Menurut Dr Siti Nur Idayu, lawatan itu bukan sahaja memperkayakan ilmu teknikal para pelajar, malah menegaskan komitmen UNISSA dalam memperkukuh kecemerlangan Halalan Thayyiban, seiring aspirasi Negara Brunei Darussalam sebagai hab halal serantau.




