Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA perlu proaktif hadapi cabaran era digital

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Universiti Islam Sultan Sahrif Ali (UNISSA) bukan sekadar gedung untuk belajar ilmu ugama tetapi berperanan penting menjadi sebuah gedung ilmu yang inklusif, dalam maksud ia terbuka kepada kepelbagaian idea dan pendekatan baharu, namun dalam masa yang sama, tetap berpasakkan nilai-nilai Islam.

    “Beta berharap UNISSA akan dapat melangkah ke hadapan menjadi pelopor pengajian tinggi Islam yang holistik dalam era digital ini.”

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan mengenai peranan penting UNISSA dalam titah Baginda sempena Majlis Haflut Takharruj ke-15, UNISSA, di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Berakas, hari ini.

    Baginda bertitah, “Era digital, hari ini, menjadikan dunia bergerak pantas. Oleh itu, UNISSA tidak boleh hanya jadi penonton dan berdiri di tepi arus perubahan yang pesat, tetapi sebaliknya perlu tampil menjadi pemain aktif yang responsif dan proaktif.”

    Mungkin sudah tiba masanya, titah Baginda, bagi UNISSA untuk menilai semula pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran, memperbaharui kurikulum serta meningkatkan keupayaan literasi digital terkini, dalam kalangan pelajar dan tenaga akademik.

    “Beta percaya penguasaan terhadap teknologi pada hari ini bukan lagi satu pilihan, bahkan keperluan untuk kelangsungan dan kecemerlangan institusi pengajian tinggi Islam seperti UNISSA.”

    “Bidang-bidang ilmu tradisional seperti tafsir, hadits, fiqh, masih saja mempunyai ruang yang sangat luas untuk diteroka semula dengan pendekatan yang lebih segar, khususnya apabila dihubungkan dengan teknologi digital.”

    Di samping itu, Baginda bertitah menyatakan UNISSA juga boleh menawarkan program micro-credential bersifat sepanjang hayat, life-long learning, yang kandungan kurikulumnya adalah gabungan tradisional dan kontemporari.

    Seiring dengan itu, aspek penyelidikan dan pembangunan adalah mustahak diberi keutamaan.

    Baginda Sultan menekankan ia adalah teras utama kepada kecemerlangan sebuah universiti.

    “UNISSA perlu memacu budaya penyelidikan berimpak tinggi, iaitu penyelidikan yang tidak hanya tertumpu kepada akademik semata-mata, tetapi juga yang berkait rapat dengan isu-isu semasa, cabaran masyarakat, serta pembangunan dasar dan penyelesaian kepada permasalahan sebenar.”

    “Sebagai contoh ialah penyelidikan dalam bidang halal dan sains makanan. UNISSA boleh menerajui penyelidikan yang berkaitan dengan teknologi pengesanan halal dan kajian piawaian halal serantau yang boleh memberi impak positif kepada integrasi sistem jaminan halal.”

    Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah sempena Majlis Haflut Takharruj ke-15, UNISSA, di ICC, Berakas, hari ini. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Di samping itu, penyelidikan bidang ekonomi dan kewangan Islam yang digandingkan dengan teknologi moden juga amat diperlukan.

    Baginda Sultan bertitah, “Ini adalah bagi merangka penyelesaian untuk membantu golongan kurang berkemampuan untuk meningkatkan tahap sara diri dan kesejahteraan ekonomi keluarga, agar mereka tidak terus tersisir daripada pembangunan arus perdana.”

    “Beta juga ingin melihat kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pihak industri diperkasa dalam bidang penyelidikan dan pembangunan. Usaha ini boleh dijayakan melalui geran kolaboratif dan perkongsian pakar.”

    “Dengan gabungan yang kuat seperti ini, UNISSA setentunya akan dapat memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai pusat ilmu yang unggul dan diiktiraf di peringkat serantau dan global.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda