Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Bersempena Hafl Al-Takharruj kali ke-13, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) memperluas jaringan kerjasama melalui penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) bersama beberapa buah institusi pengajian luar di Bilik Galeri, Tarindak D’Seni, di ibu negara.
Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, bersama ketua-ketua perwakilan dari University of Chittagong, Bangladesh; Universitas Islam Malang (UNISMA), Indonesia; Universiti Antarabangsa Al-Madinah, (MEDIU) Malaysia dan Institut Agama Islam Almuslim Aceh serta Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim Malang, Indonesia.
Sementara itu, penandatanganan MoA juga turut dilaksanakan di antara Fakulti Bahasa Arab, UNISSA, yang diwakili oleh dekannya, Dr Hajah Rafidah binti Haji Abdullah dan Dekan Fakulti Tarbiyah dan Institusi Pendidikan Guru, Profesor Dr H Nur Ali, M Pd mewakili Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim Malang, Indonesia.
Dengan termeterainya MoA dan MoU berkenaan, UNISSA akan terus berusaha menjalin kerjasama dalam bidang pertukaran tenaga akademik, pelajar, penyelidikan, penerbitan dan khidmat masyarakat demi manfaat bersama khususnya bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pengajian tinggi Islam global.