Selasa, Julai 29, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA rai 567 pelajar baharu

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Seramai 567 mahasiswa baharu Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menyertai Majlis Amanat dan Ikrar Pelajar Baharu bagi sesi pengajian 2025/2026 yang menandakan permulaan rasmi Minggu Ta’aruf universiti tersebut yang telah berlangsung di Auditorium UNISSA pagi tadi.

    Daripada jumlah berkenaan, seramai 481 mahasiswa merupakan pelajar program prasiswazah, manakala 86 lagi terdiri daripada pelajar program siswazah, termasuk pelajar tempatan dan antarabangsa.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Rektor UNISSA, Dr Haji Arman bin Haji Asmad, selaku pemangku yang menyampaikan Amanat Rektor serta merasmikan Minggu Ta’aruf sesi berkenaan.

    Dalam amanatnya, beliau menekankan perubahan pesat landskap pendidikan masa kini yang dipacu kemajuan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI). Sehubungan itu, para pelajar diseru agar memanfaatkan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab sambil mengekalkan nilai usaha serta integriti dalam menuntut ilmu.

    “UNISSA bukan sekadar medan akademik, tetapi wadah perjuangan intelektual yang mencorakkan masa depan pelajarnya,” tegas beliau sambil menasihatkan pelajar agar bersedia dari segi mental dan fizikal dalam menempuh alam pengajian tinggi.

    Antara penuntut baharu UNISSA yang membaca ikrar semasa Majlis Amanat dan Ikrar Pelajar Baharu bagi sesi pengajian 2025/2026. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara pelajar yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Dr Haji Arman semasa menyampaikan Amanat Rektor serta merasmikan Minggu Ta’aruf sesi berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Awang Muhammad Khairul Aiman Akmal mengetuai bacaan ikrar pelajar baharu semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Beliau turut menggariskan visi UNISSA yang berteraskan firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 110, iaitu umat Islam merupakan sebaik-baik ummah yang menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.

    Tambah beliau, visi tersebut adalah selari dengan Wawasan Brunei 2035 serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) global.

    Dr Haji Arman juga turut menasihati mahasiswa baharu agar sentiasa mematuhi peraturan universiti, menjaga adab dan akhlak, serta membawa identiti UNISSA di mana sahaja mereka berada.

    “Kami sedar bahawa melahirkan generasi Khayra Ummah bukanlah suatu tugas yang mudah. Ia menuntut azam dan kekuatan pelajar itu sendiri dalam membentuk sahsiah unggul,” ujar beliau.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan Pelajar UNISSA, Dr Haji Supri bin Haji Sudin, selaku pengerusi majlis, yang menyeru pelajar untuk menjadikan Minggu Ta’aruf sebagai platform membina jati diri serta memahami budaya kampus.

    Manakala dalam sesi berasingan, Dr Hajah Lilly Suzanna binti Haji Samsu turut selaku Dekan Pelajar UNISSA yang mengalu-alukan kehadiran semua pelajar baharu. Beliau menyatakan komitmen UNISSA dalam memberikan bimbingan sepanjang minggu orientasi tersebut.

    “Minggu Ta’aruf adalah pra-tonton kepada kehidupan sebenar sebagai pelajar UNISSA. Oleh itu, adalah penting untuk hadir dengan minda dan hati yang terbuka dalam menerima perbezaan dan pengalaman baharu,” jelas beliau.

    Program orientasi selama lima hari itu menyediakan pelbagai pengisian seperti penghayatan hidup beragama, pembentukan sahsiah cemerlang, pembangunan kepimpinan serta khidmat kemasyarakatan.

    Taklimat induksi turut disampaikan meliputi aspek akademik, struktur program pengajian, kursus wajib, kemudahan pembelajaran dan peluang ko-kurikulum.

    Mahasiswa juga akan menyertai ceramah kesihatan mental, aktiviti motivasi, latihan kepimpinan serta khidmat masyarakat yang dijadualkan berlangsung di beberapa lokasi terpilih di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait.

    Majlis turut disusuli dengan bacaan ikrar pelajar baharu yang diketuai oleh Awang Muhammad Khairul Aiman Akmal @ Yussof Almahdi bin Haji Rusli dari Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam sebagai simbolik komitmen mahasiswa terhadap nilai-nilai teras dan wawasan UNISSA.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama universiti, para pensyarah serta kakitangan pentadbiran UNISSA.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda