Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA rai Nuzul Al-Quran, hulur sumbangan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Unit Keugamaan dan Takmir Surau, Pejabat Hal Ehwal Pelajar telah mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Penutup Tadarus, Iftar Jama’ie (Berbuka Puasa) dan Penyampaian Derma Anak Yatim Warga UNISSA di Dewan Ar-Rayyan, Kampus Sinaut UNISSA, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Rektor UNISSA, Dr Arman bin Haji Asmad. Turut hadir penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi yang menetap di Kolej Kediaman UNISSA.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat dan diikuti bacaan khatam Al-Quran.

    Majlis berkenaan adalah kesinambungan daripada Majlis Tadarus Al-Quran yang berjalan sepanjang bulan Ramadan selepas sembahyang Fardu Zohor yang melibatkan tenaga akademik, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

    Ianya antara lain bertujuan memberikan dorongan kepada warga UNISSA untuk melazimkan pembacaan Al-Quran di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama warga UNISSA.

    Antara yang hadir pada majlis tersebut di Dewan Ar-Rayyan, Kampus Sinaut UNISSA. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    Tetamu kehormat majlis menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada warga universiti berkenaan. – GAMBAR SERAHAN UNISSA

    Pada majlis itu, seramai 53 orang anak yatim warga UNISSA menerima sumbangan yang disampaikan oleh tetamu kehormat, manakala enam orang warga dari Kampung Sinaut juga menerima sumbangan Program Muttaqin Ramadan anjuran Fakulti Pertanian.

    Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai amalan bersedekah serta bertimbang rasa dan prihatin terhadap golongan yang memerlukan bantuan.

    Majlis kemudian diselajurkan dengan penyampaian sumbangan kepada enam orang warga UNISSA yang akan melaksanakan ibadah haji pada tahun ini dan juga penyerahan wakaf sebanyak 50 unit mushaf UNISSA untuk kegunaan Masjid Kampung Sinaut yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

    Majlis seterusnya diserikan dengan tazkirah khas bertemakan Al-Quran yang telah disampaikan oleh Penolong Pensyarah Fakulti Usuluddin, Haji Mohammad Khairul Nazif bin Haji Awang Damit. Acara berakhir dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah dan iftar jama’ie.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda