Thursday, January 23, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA raikan penulisan berkualiti ahli akademik

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Sebanyak tiga buah buku dan dua artikel jurnal berimpak tinggi telah dinobatkan untuk menerima Anugerah Buku UNISSA dalam Majlis Anugerah Buku UNISSA 2024 yang berlangsung di Ruang Legar, Perpustakaan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) kelmarin.

    Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Penolong Rektor (Akademik), UNISSA Yang Mulia Profesor Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, selaku wakil Rektor, UNISSA. Turut hadir bagi meraikan majlis ialah penolong-penolong Rektor, pegawai-pegawai utama UNISSA dan penulis-penulis buku.

    Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Ugama UNISSA, Yang Mulia Ustaz Pengiran Muhammad Daud bin Pengiran Matassan dan seterusnya ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA, Yang Mulia Dr Hajah Sri Rahayu@ Nurjanah binti Haji Dollah.

    Yang Mulia Dr Hajah Sri Rahayu@ Nurjanah menyampaikan ucapan.

    Acara diteruskan dengan penyampaian Anugerah Buku oleh tetamu kehormat majlis kepada tiga pemenang mengikuti kategori iaitu buku berjudul الإمام الشافعي بحوث غير فقهية oleh Professor Dr Moustafa Mohammed Rizk Elsawahly untuk Buku Bahasa Arab, buku berjudul Orientalism, Modernization and Islamic Architecture oleh Profesor Madya Dr Spahic Omer bagi kategori Buku Bahasa Inggeris dan Buku Bahasa Melayu pula adalah buku berjudul Pertautan Seni Lukis Brunei Darussalam dan Melayu Islam Beraja oleh Profesor Madya Dr Baharuddin Mohd Arus dan Dayang Nur Rita binti Abdullah Rani.

    Pemenang Anugerah Buku Kategori Bahasa Melayu.

    Sementara bagi Anugerah Penerbitan Artikel Jurnal Berimpak Tinggi pula, artikel bertajuk Effects Of Water Additive Probiotic, Pediococcus Acidilactici on Growth Performance, Feed Utilization, Hematology, Gene Expression and Disease Resistance Against Aspergillus Flavus of Nile Tilapia (Oreochromis Niloticus) hasil penulisan bersama Dr Mohammad Bodrul Munir, Dr Basma M. Hendam, Dr Moaheda E.H. Eissa, Dr Ehab El-Haroun, Dr Hien van Doan, Dr Thian Hai Chung dan Dr El-Sayed Hemdan Eissa telah memenangi Artikel Jurnal Berimpak Tinggi dengan jumlah sitasi tertinggi iaitu sebanyak 26.

    Pemenang Artikel Jurnal Berimpak Tinggi dengan jumlah sitasi tertinggi.

    Manakala, Anugerah Artikel Jurnal berimpak tinggi dengan jumlah bilangan penerbitan tertinggi pula telah dianugerahkan kepada Profesor Dr Ahmad Osmanu Haruna dengan sembilan jumlah terbitan pada 2023.

    Profesor Dr Ahmad Osmanu Haruna dengan anugerah yang dimenangi.

    Majlis Anugerah Buku UNISSA merupakan salah satu inisiatif Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, UNISSA dalam menitikberatkan bidang penyelidikan dan penerbitan yang bertujuan untuk memberi pengiktirafan secara formal terhadap buku-buku yang telah memberi impak kepada pembinaan ilmu serta memberi galakan dan motivasi kepada para penulis buku untuk lebih bergiat aktif, bersemangat dan berdaya saing dalam menghasilkan penyelidikan dan penulisan yang berkualiti.

    Gambar ramai para pemenang dalam majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda