Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA rasmi sudut buku di UNDIL, Timor Leste

    TIMOR LESTE, 30 OKT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melangkah setapak lagi di peringkat antarabangsa melalui perkongsian hasil-hasil penyelidikan dan penerbitan buku-buku ilmiah UNISSA dengan penubuhan Sudut Buku UNISSA di Universiti Dili (UNDIL), Timor Leste.

    Menurut kenyataan yang diterima, hari ini, sumbangan buku sebanyak 316 itu merupakan salah satu inisiatif UNISSA bagi mengongsikan bahan terbitan UNISSA untuk simpanan dan rujukan perpustakaan Universiti Dili, selain diharap dapat menambah kegiatan intelektual dalam kalangan pelajar dan tenaga akademik di UNDIL.

    Hadir merasmikan sudut berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Haji Adnan bin Haji Mohd Ja’afar; Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Rektor UNDIL, Prof Dr Jose Agostinho da Costa Belo Pereira; dan Presiden Komuniti Islam Timor Leste, Arif Abdullah Sagran.

    Turut hadir ialah Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA, Prof Madya Dr Hajah Rose binti Abdullah bersama dan para pegawai Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Timor-Leste dan UNISSA serta pegawai-pegawai utama UNDIL.

    Buku-buku yang disumbangkan pada majlis tersebut meliputi pelbagai tajuk dan bidang merangkumi sains sosial, ekonomi, budaya, tamadun, pembelajaran bahasa Arab dan lain-lain jurusan yang diterbitkan dalam Bahasa Inggeris, Melayu dan Arab.

    UNISSA dan UNDIL telah menandatangani memorandum persefahaman pada 17 September 2018 di Negara Brunei Darussalam. UNDIL mempunyai enam buah fakulti dan memiliki 8,000 pelajar.

    Sementara itu, Rektor UNISSA juga mengadakan kunjungan muhibah kepada Rektor Universiti Kebangsaan Timor Leste, Prof Dr Francisco Miguel Martins.

    TYT Haji Adnan, Dr Haji Norarfan dan Prof Dr Jose Agostinho da Costa Belo Pereira pada majlis perasmian Sudut Buku UNISSA di UNDIL, Timor Leste. – Gambar daripada UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda