Friday, November 15, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA sertai persidangan di Al-Azhar

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal telah menghadiri Persidangan Antarabangsa Kitab Turath dan Cabarannya di Alam Melayu: Al-Azhar sebagai Manhaj dan Rujukan yang berlangsung di Markaz Sheikh Zayyed, Universiti Al-Azhar, Kaherah, Republik Arab Mesir.

    Kehadiran beliau adalah sebagai salah seorang pembentang utama pada persidangan berkenaan yang berlangsung dari 27 Februari lalu hingga hari ini, anjuran bersama Pertubuhan Antarabangsa Alumni Al-Azhar Cawangan Malaysia, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Malaysia, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Cawangan Brunei Darussalam.

    Persidangan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Sheikh Al-Azhar, Profesor Dr Mohamed Abdel Rahman Mohamed El-Doweiny selaku wakil peribadi Fadhilat Al-Imam Al-Akbar Sheikh Al-Azhar Al-Syarif yang juga merupakan penaung persidangan.

    Turut hadir selaku pembentang utama ialah Presiden Universiti Al-Azhar, Profesor Dr Salamah Daud; Naib Presiden Pertubuhan Antarabangsa Alumni Al-Azhar Pusat, Profesor Mohamed Al-Mahrasawy dan Penasihat Sheikh Al-Azhar bagi Urusan Pelajar Antarabangsa, Profesor Dr Nehla El-Saiedy.

    Dalam ucapan perasmian dan ucaptama perdana, Profesor Dr Mohamed Abdel Rahman Mohamed El-Doweiny antara lain telah menyentuh tentang sumbangan dan kerjasama Institusi Al-Azhar Al-Sharif dalam memperkukuh dan memelihara pengajian Turath Islam di alam Melayu khususnya dalam melahirkan para cendekiawan dan ulama-ulama Islam muktabar sejak abad ke-17 hingga sekarang.

    Pada persidangan itu, Rektor UNISSA telah menyampaikan kertas kerja utama bertajuk Kedudukan Kitab Turath dalam Pengajian Islam di Negara Brunei Darussalam yang antaranya mengongsikan peranan institusi agama melalui kepimpinan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memperkasa dan memperkukuhkan syiar Islam melalui pengajian ilmu turath yang terus berkembang dan dipelihara di negara ini.

    Persidangan turut disertai lebih 170 orang pembentang dari pelbagai negara termasuk 10 wakil pembentang dari UNISSA.

    Turut hadir dalam persidangan tersebut Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Pengiran Haji Salimin bin Pengiran Haji Mohd Daud.

    Dr Haji Norarfan bersama barisan pembentang utama persidangan tersebut di Markaz Sheikh Zayyed, Universiti Al-Azhar, Kaherah, Republik Arab Mesir. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    Dr. Haji Norarfan semasa menyampaikan kertas kerja bertajuk, Kedudukan Kitab Turath dalam Pengajian Islam di Negara Brunei Darussalam. – GAMBAR SERAHAN UNISSA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda