Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Buat julung-julung kalinya khusus bagi panduan para jemaah haji dan umrah di Negara Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Bahasa Arab (FBA) telah menerbitkan buku panduan ‘Al-Muhadathah bi Al-Lughah Al-Arabiyyah Li Agrad Hajj-Umrah-Ziarah’ (Perbualan Bahasa Arab Untuk Haji-Umrah-Ziarah).
Pelancaran buku panduan berkenaan telah diadakan hari ini di UNISSA dan disempurnakan oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku tetamu kehormat majlis.
Buku panduan berkenaan bermatlamat untuk membantu para jemaah haji dan umrah serta mereka yang berhasrat menziarahi Mekah Mukarramah dan Madinah Munawwarah berkomunikasi dalam Bahasa Arab mengikut situasi dan lokasi yang berbeza misalnya lokasi di lapangan terbang di Jeddah, tempat mengurup wang, hotel, restoran, stesen bas dan teksi, semasa mengerjakan ibadah haji dan umrah, termasuk perbualan di kedai cenderamata, pasar raya dan banyak lagi.
Di samping segmen perbualan ini, buku itu juga mengandungi pelbagai doa dan glosari perkataan bagi rujukan para jemaah haji dan umrah serta penziarah. Buku tersebut disertakan dengan terjemahan dalam Bahasa Melayu.
Dengan penerbitan buku panduan itu, satu program turut dibukakan untuk membantu para jemaah menggunakan buku panduan berkenaan agar dapat membaca dengan sebutan yang betul lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan doa-doa.


Dr. Haji Norarfan semasa menyampaikan ucapan di majlis itu mengharapkan sambutan daripada orang ramai khususnya bakal-bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam agar dapat mengambil kesempatan yang berharga ini untuk mempelajari Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi di Tanah Suci, di samping merupakan bahasa Al-Quran.
“Dalam kesempatan ini dan bersempena bulan Syawal yang mulia ini, saya ingin menyeru semua jabatan dan agensi yang berkaitan untuk sama-sama membantu pihak UNISSA untuk membantu bakal-bakal jemaah haji dan umrah Negara Brunei Darussalam dengan memberigakan buku dan program ini sebagai panduan dan persiapan para jemaah ketika mengadakan ibadah dan ziarah ke Haramain.”
Menyentuh mengenai Program ‘Perbualan Bahasa Arab Untuk Haji-Umrah-Ziarah’, beliau menjelaskan ia merupakan program kesinambungan daripada program-program terdahulu iaitu Mari Belajar Bahasa Al-Quran untuk orang ramai dan Program Kemahiran Bahasa Al-Quran.
Dengan terbitnya buku panduan dan juga program berkenaan, tambah beliau, ia dapat dimanfaatkan oleh mana-mana jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung dengan pengurusan jemaah haji dan umrah.
Buku panduan berkenaan terdapat dalam dua jenis, naskhah berkulit nipis berharga $10 dan naskah berkulit tebal pula berharga $20 yang boleh didapati di Kedai Buku UNISSA Press.