Monday, October 28, 2024
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA terima anugerah GIFA buat kali ke-4

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) sekali lagi melakar detik bersejarah apabila dianugerahkan Global Islamic Finance Award (GIFA) bagi kategori GIFA Market Leadership Award 2023 (Education in Islamic Banking and Finance) untuk kali keempat.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis GIFA ke-13 yang berlangsung di King Fahd Palace Hotel, Dakar, Senegal itu ialah Presiden Republik Senegal, Tuan Yang Terutama Macky Sall.

    Anugerah yang disampaikan oleh Pengerusi GIFA, Dr Humayon Dar itu telah diterima oleh Dekan FEKIm UNISSA, Dr Muhammad Zaki bin Haji Zaini dan Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa UNISSA, Dr Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof.

    Menurut UNISSA, penganugerahan untuk kali keempat itu menjadi satu mercu tanda bagi FEKIm sebagai sebuah fakulti yang menawarkan program pengajian kewangan
    Islam bertaraf antarabangsa.

    Ia juga satu pengiktirafan kepada UNISSA khususnya FEKIm yang memainkan peranan dalam melahirkan graduan yang mampu memacu ke arah kemajuan ilmu perkembangan kewangan Islam serta mencapai visi UNISSA sebagai hab pengajian Islam di rantau ini.

    Setiap tahun, GIFA menganugerahkan anugerah perbankan dan kewangan Islam kepada pihak kerajaan, institusi-institusi dan individu-individu dari seluruh dunia di atas sumbangan yang luar biasa serta prestasi cemerlang dalam menyumbang kepada kemapanan bidang perbankan dan kewangan Islam.

    TYT Macky Sall (tengah) bersama Dr Muhammad Zaki dan Dr Mohammad Hilmy Baihaqy pada Majlis GIFA ke-13 yang berlangsung di King Fahd Palace Hotel, Dakar, Senegal. – Gambar serahan UNISSA
    Dr Muhammad Zaki dan Dr Mohammad Hilmy Baihaqy bersama Dr Humayon Dar yang menyampaikan anugerah berkenaan. – Gambar serahan UNISSA

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda