Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini, telah menerima satu penghormatan dengan kunjungan Abdul Somad, seorang da’ie yang bukan sahaja dikenali di Indonesia malah juga di rantau ini termasuk Negara Brunei Darussalam.
Hadir mengalu-alukan kunjungan beliau ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal bersama pegawai-pegawai eksekutif dan pegawai-pegawai utama UNISSA.
Dalam perjumpaan singkat di Bilik Senat UNISSA, Dr Haji Norarfan mengucapkan berbanyak terima kasih atas kunjungan tersebut dan ia merupakan satu penghormatan yang tinggi daripada seorang ulama yang unggul.
Menurut beliau, kunjungan berkenaan sudah tentu akan membawa berkah dan sebagai platform untuk pelaksanaan kegiatan bersama Abdul Somad pada masa akan datang dalam menyuntik semangat kepada seluruh warga UNISSA.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada usahawan tempatan, Dayang Nur Khadijah binti Haji Ismail selaku penganjur yang telah memberi peluang kepada UNISSA untuk bersua muka dengan Abdul Somad.

Dalam perjumpaan tersebut, rektor UNISSA menerangkan serba sedikit mengenai program-program yang ditawarkan di UNISSA, keramaian pelajar dan pencapaian UNISSA dalam usianya yang baharu menjangkau 14 tahun.
Dalam ucapan balas, Abdul Somad menyatakan tentang perasaan teruja berkunjung ke UNISSA apatah lagi nama UNISSA sering disebut dan mempunyai alumni di luar negara.
Beliau mengakui bahawa sering menerima tawaran untuk berkunjung ke UNISSA sebelumnya akan tetapi disebabkan beberapa halangan maka kunjungan tersebut terpaksa ditangguhkan.
Beliau juga melahirkan rasa kagum dengan penubuhan Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’ie yang terdapat di UNISSA yang mengukuhkan lagi pegangan Mazhab Syafi’e bukan hanya setakat di Brunei Darussalam malah juga akan berkembang ke dunia global.
Beliau juga percaya UNISSA akan terus menjadi kubu utama dalam mempertahankan kesucian agama Islam di Nusantara ini.
Perjumpaan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Abdul Somad.