BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini, telah menerima kunjungan daripada rombongan seramai 17 orang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St George Perak, Malaysia.
Ketibaan rombongan yang diketuai oleh Penolong Kanan Tingkatan 6, Zurani binti Mukapit itu telah dialu-alukan oleh Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Haji Sammali bin Haji Adam.
Menurut kenyataan UNISSA, kunjungan guru-guru berkenaan adalah untuk meninjau lebih dekat perkembangan pendidikan Islam di Brunei Darussalam khususnya di UNISSA di samping mengenal program-program yang ditawarkan oleh universiti berkenaan.
Kenyataan menambah, rombongan melihat perkembangan UNISSA mempunyai potensi dalam mengembangkan lagi bidang kerjasama dengan institusi luar negara apatah lagi Brunei adalah sebuah negara yang mengamalkan kehidupan beragama yang sangat kuat.
Perjumpaan tersebut telah dihadiri sama oleh Pengarah Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat UNISSA, Dayang Siti Nurasmah binti Haji Damit.
