Wednesday, March 19, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA terima kunjungan Duta Palestin, Oman

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini, telah menerima kunjungan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Palestin ke Negara Brunei Darussalam yang tidak menetap, Dr. Anwar H. Al-Agha.

    Dalam kunjungan itu, Dr. Anwar H. Al-Agha telah mengadakan perjumpaan dengan Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    UNISSA dalam kenyataannya menyatakan bahawa dalam perjumpaan tersebut, Dr. Anwar telah membincangkan hasratnya untuk memperluaskan lagi hubungan dan jalinan kerjasama di antara Palestin dan Negara Brunei Darussalam, khususnya dalam bidang pendidikan.

    Beliau menyuarakan keinginannya untuk melihat lebih ramai lagi pelajar daripada kalangan rakyat Palestin yang akan mengikuti pengajian mereka di UNISSA, khususnya dengan adanya peluang biasiswa yang ditawarkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam bagi pelajar antarabangsa.

    Selain itu, Duta Palestin juga berhasrat mengembangkan hubungan akademik di antara institusi-institusi pengajian tinggi di Palestin dengan UNISSA melalui pertukaran pelajar, pertukaran staf akademik dan juga melalui aktiviti ilmiah menerusi seminar, persidangan, lawatan sambil belajar dan lainnya. UNISSA sebelum ini pernah menerima pelajar Palestin di peringkat pengajian lepas ijazah yang telah menamatkan pengajiannya.

    Dr. Anwar H. Al-Agha menyampaikan cenderahati kepada Rektor UNISSA.
    Dr. Anwar H. Al-Agha menyampaikan cenderahati kepada Rektor UNISSA.
    Haji Sulaini bergambar ramai bersama Rektor dan pegawai-pegawai UNISSA.
    Haji Sulaini bergambar ramai bersama Rektor dan pegawai-pegawai UNISSA.

    Sehari sebelumnya, Dr. Haji Norarfan juga telah menerima kunjungan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Kesultanan Oman, Haji Sulaini bin Haji Said yang baru dilantik pada 15 Februari lepas.

    Kunjungan Haji Sulaini adalah bagi mengikuti perkembangan hubungan UNISSA dengan institusi-institusi pengajian di Oman.

    Pada masa ini terdapat seramai tujuh orang pelajar UNISSA sedang mengikuti pengajian mereka di Oman, empat daripadanya mengikuti pengajian di Sultan Qaboos University (SQU) di bawah program pengajian luar negara (study abroad program) selama setahun atau dua semester manakala itu, tiga orang lagi sedang mengikuti pengajian intensif Bahasa Arab di Sultan Qaboos College for Teaching Arabic Language to Non-Native Speakers (SQCA) selama lapan minggu.

    Penghantaran pelajar UNISSA ke SQCA telah bermula sejak 2015 hasil daripada perbincangan dan hubungan rapat UNISSA dengan Kedutaan Kesultanan Oman di Negara Brunei Darussalam.

    Kedua-duanya juga membincangkan inisiatif untuk memperluaskan lagi hubungan UNISSA dengan institusi-institusi pengajian tinggi di Oman serta meneroka peluang kerjasama yang boleh dijalin melalui pertukaran tenaga akademik dan pelajar, peluang untuk menjalani latihan industri di Oman, kursus-kursus intensif bagi tenaga akademik tempatan UNISSA dan peluang penyelidikan bersama dan penerbitan bahan ilmiah.

    Turut hadir dalam perjumpan tersebut ialah Timbalan Rektor, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Penolong Rektor, Dr. Arman bin Haji Asmad dan beberapa orang pegawai utama UNISSA.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda