BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini, telah menerima kunjungan silaturahim daripada delegasi Lembaga Kajian Khazanah Nusantara (LKKN), Jakarta Timur, Indonesia, yang bergiat aktif dalam bidang informasi, penelitian, dokumentasi dan penerbitan khazanah Islam di Nusantara.
Kunjungan LKKN, Indonesia itu diketuai oleh Ketua Lembaga berkenaan, Sayyid Ali bi Yahya dan diiringi oleh seramai 15 orang yang terdiri daripada para guru, tokoh masyarakat dan ahli perniagaan.
Rombongan berkenaan telah dialu-alukan oleh Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dan pegawai-pegawai eksekutif UNISSA.

Menurut kenyataan UNISSA, tujuan lawatan berkenaan adalah untuk menerokai peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan yang melibatkan pakar akademik UNISSA dan juga perkongsian ilmiah yang dilaksanakan oleh pihak LKKN.
Kunjungan juga membuka jalan untuk memperkenalkan lagi program-program yang ditawarkan di UNISSA untuk diikuti oleh masyarakat antarabangsa.
Majlis diakhiri dengan sesi dialog dan pertukaran cenderahati sebagai simbol bahawa UNISSA dan LKKN akan terus bekerjasama dalam bidang kajian ilmiah dan akan merancang program-program yang berkaitan dengan UNISSA.