Friday, March 14, 2025
32.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA terus capai kecemerlangan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) terus mengorak langkah ke hadapan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan penyelidikan dengan penandatanganan lapan memorandum persefahaman (MoU) dan dua memorandum perjanjian (MoA), kelmarin.

    Majlis penandatanganan itu diadakan semasa Majlis Makan Malam bagi meraikan graduan-graduan UNISSA sempena Hafl Al-Takharruj ke-9 yang berlangsung di salah sebuah hotel di Gadong.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, ahli-ahli Majlis UNISSA, timbalan menteri pendidikan, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, perwakilan ketua-ketua institusi dan universiti luar negara.

    Majlis menyaksikan UNISSA menandatangani MoU dengan Arkib Negara Brunei Darussalam; Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Malaysia; Mindanao State University Iligan Institute of Technology, Filipina; Mindanao State University General Santos City, Filipina; Institut Agama Indonesia; Universitas Islam Negeri Sunan Ampel Surabaya, Indonesia dan Universitas Islam Negeri Sultan Maulana Hasanuddin Banten, Indonesia.

    Manakala itu, MoA ditandatangani dengan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Malaysia dan Institut Agama Islam Negeri Pontianak, Indonesia.

    Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektornya, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis manakala mewakili institusi terlibat ialah pemimpin-pemimpin institusi atau universiti berkenaan.

    Penandatanganan MoU dan MoA tersebut adalah selaras dengan usaha UNISSA untuk memperkembangkan jaringan strategik dengan dunia luar dan meningkatkan lagi reputasi UNISSA dalam bidang pengajian Islam, penyelidikan, keusahawanan dan pengurusan serta memantapkan lagi kedudukannya di arena pendidikan dalam dunia global. Terdahulu itu, majlis menyaksikan penyampaian anugerah pingat dan Hadiah Buku Universiti kepada 50 graduan serta mahasiswa dan mahasiswi yang memperolehi pencapaian cemerlang pada Hafl Al-Takharruj ke-9 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama turut hadir pada majlis tersebut.
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyampaikan anugerah pingat kepada salah seorang graduan UNISSA pada Majlis Makan Malam bagi meraikan para graduan sempena Hafl Al-Takharruj.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda