Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA terus martabatkan Bahasa Arab di persada antarabangsa

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Dalam usaha memperkukuh kecekapan dan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajarnya, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sekali lagi melangkah ke persada antarabangsa melalui penyertaan dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab ASEAN Ke-3 Tahun 2025 yang diadakan di Muscat, Oman, baru-baru ini.

    UNISSA diwakili oleh tiga pelajar terpilih daripada pelbagai fakulti, Ahmad Alwi bin Ahmad ‘Afif dari Fakulti Bahasa Arab, Awangku Muhammad Luqmanul Hakim bin Pengiran Haji Bahar, dari Fakulti Syariah dan Muhammad Kamal Shukri bin Mohamad Kamal dari Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam. Ketiga-tiga peserta ini diiringi oleh Pensyarah Fakulti Bahasa Arab Dr. Zulamali @ Abdul Aziz bin B.P.K.D.P Haji Matassan, sebagai pengiring rasmi dan penyelia pasukan.

    Pertandingan anjuran Qatar Foundation itu merupakan platform penting yang mengasah kemampuan berhujah, kemahiran berfikir secara kritikal, serta kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan berkesan dan penuh keyakinan di pentas antarabangsa.

    Di samping itu, pertandingan ini membuka ruang kepada pelajar untuk berinteraksi dan bertukar pandangan dengan para pendebat dari pelbagai latar budaya serta institusi pendidikan tinggi di rantau ASEAN dan dunia Arab.

    Penyertaan UNISSA dalam pertandingan berprestij ini sejajar dengan Pelan Strategik UNISSA 2024–2028, khususnya bagi melahirkan graduan siaga sasa depan dan memperkasa kecemerlangan dalam pengantarabangsaan dan pengiktirafan.

    Inisiatif penyertaan pertandingan ini menekankan pembangunan kompetensi pelajar dalam bahasa, budaya dan komunikasi antarabangsa, serta penglibatan aktif mereka dalam jaringan global selaras dengan visi UNISSA untuk menjadi institusi pengajian tinggi Islam bertaraf global yang melahirkan generasi Khayra Ummah.

    Lebih signifikan lagi, penyertaan ini merupakan manifestasi nyata kesungguhan UNISSA dalam menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang sering menegaskan kepentingan bahasa Arab sebagai bahasa ilmu, bahasa agama dan bahasa peradaban Islam.

    Titah Baginda menjadi panduan dan inspirasi UNISSA untuk terus memperkukuh kedudukan bahasa Arab sebagai asas kepada pembangunan ilmu dan kefahaman Islam di negara ini.

    Selaras dengan aspirasi tersebut, UNISSA terus komited mempergiat pelbagai usaha ke arah pemartabatan bahasa Arab melalui program akademik berimpak tinggi, penyelidikan ilmiah, pertandingan antarabangsa, serta kolaborasi strategik dengan institusi pendidikan di rantau ini dan dunia Arab.

    Penyertaan dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab ASEAN Ke-3 Tahun 2025 bukan sahaja memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar-pelajar UNISSA, malah memperkukuh imej universiti sebagai institusi unggul yang menerajui pengembangan, penghayatan dan pemartabatan bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.

    UNISSA yakin bahawa penguasaan bahasa Arab yang mantap merupakan asas kepada pembentukan generasi Khayra Ummah yang berilmu, berakhlak dan berwawasan global, sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 dan matlamat negara untuk melahirkan masyarakat berpengetahuan tinggi serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

    Tiga wakil UNISSA menyertai Pertandingan Debat Bahasa Arab ASEAN Ke-3 Tahun 2025 yang diadakan di Muscat, Oman, baru-baru ini. -GAMBAR SERAHAN UNISSA

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda