Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    UNISSA teruskan misi wakaf mushaf ke luar negara

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan UNISSA

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Berkat sambutan orang ramai dalam menjayakan program Waqaf Mushaf Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sejak 16 Februari lalu, UNISSA kini meneruskan misi pengagihan wakaf ke luar negara susulan perlaksanaan pengagihan dalam negara.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNISSA, hari ini, wakaf mushaf yang ditulis oleh anak tempatan itu kini mula diagihkan kepada komuniti Muslim melalui beberapa buah masjid dan madrasah di Ho Chi Minh, wilayah Tay Ninh dan An Giang di Vietnam.

    Antaranya ialah Masjid Al-Rahim, Masjid Jamiul Islamiyah, Madrasah Al-Nur, Masjid Jamiul Muslimin, Masjid Musulmane, Masjid wilayah Tay Ninh, Surau Mubarakiyah, Madrasah Tahfiz Azhar, Masjid Mukarrohmah dan Surau Azhariyah.

    Pengagihannya dilaratkan lagi ke Phnom Penh, Kemboja di mana pihak UNISSA berkesempatan menyerahkannya kepada Setiausaha Negara, Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan, Kemboja, Nos Sles.

    Ia juga telah diserahkan kepada beberapa madrasah di sekitar Phnom Penh, Kemboja, antaranya Madrasah An-Nikmah, Madrasah Islam Dubai dan Cambodian Islamic Centre.

    Penyerahan wakaf mushaf di Cambodian Islamic Centre, Phnom Penh, Kemboja.
    Penyerahan wakaf mushaf di Madrasah Al-Nur, Ho Chi Minh, Vietnam

    Dalam pada itu, menerusi pelaksanaan program Waqaf Mushaf UNISSA bagi memudahkan orang ramai, pihak UNISSA telah menyediakan pautan khas untuk memudahkan mereka mendaftar menggunakan e-borang dan membuat pembayaran secara dalam talian.

    Pada fasa pertama ini, UNISSA telah memperuntukkan 20,000 naskhah Mushaf UNISSA untuk projek wakaf berkenaan dengan menyasarkan institusi masjid, surau, balai ibadat, institusi pendidikan, saudara-saudara baharu dan institusi atau organisasi luar negara sebagai penerima wakaf.

    Setakat ini UNISSA telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Sebanyak 5,601 naskhah telah ditempah oleh orang ramai untuk diwakafkan.

    Manakala itu, bagi wakaf Mushaf UNISSA keluar negara, UNISSA akan mengagihkan secara berperingkat ke tempat yang dipilih oleh Jawatankuasa Wakaf UNISSA mengikut tempahan orang ramai.

    Setakat ini, wakaf berkenaan telah diagihkan ke sekolah agama dan tahfiz serta masjid-masjid di Malaysia dan Malang, Indonesia.

    Objektif wakaf adalah membuka ruang kepada orang ramai yang ingin berwakaf mushaf ke tempat-tempat yang memerlukan di dalam dan luar negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...