Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui badan pelajar Halalan Thayyiban Student Society (HTSS) dari Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) telah melancarkan projek Bakul Indahnya Berkongsi di Kampus UNISSA, Sinaut, Tutong, kelmarin.
Turut hadir bagi pelancaran projek tersebut ialah Pengarah PPHT, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim, tenaga-tenaga akademik, kakitangan dan para pelajar UNISSA.
Melalui projek itu, satu tempat khas telah disediakan bagi penyimpanan sumbangan daripada kalangan tenaga akademik, kakitangan dan pelajar UNISSA.
Amalan bersedekah menjadi objektif utama program itu di mana warga UNISSA khususnya tenaga akademik dan pelajar yang ingin bersedekah boleh meletakkan sumbangan dalam bakul yang telah disediakan.
Dengan adanya program berkenaan, ia boleh membantu meringankan beban dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Di samping itu, acara tersebut bertujuan untuk memperkenalkan dan memperluaskan lagi konsep yang berkaitan dengan sedekah dan berkongsi rezeki yang halal.
Program itu juga bertujuan bagi mempromosikan perasaan empati, prihatin dan perpaduan sesama sendiri.
Tambahan lagi, ia sangat relevan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ingin dicapai dengan menumpukan untuk menerapkan beberapa matlamat iaitu tiada kemiskinan, sifar kelaparan serta kesihatan dan kesejahteraan baik yang merupakan komitmen global ke arah masa depan yang lebih mampan.



