Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini, telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Fakultas Tarbiyah dan Keguruan, Universiti Islam Negeri (UIN) Sunan, Surabaya, Indonesia bagi kerjasama dalam pengendalian aktiviti-aktiviti yang dapat membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab.
Salah satu aktiviti kerjasama tersebut adalah Program Mobiliti Pelajar Antarabangsa yang diungkayahkan oleh Fakultas Tarbiyah dan Keguruan, UIN Sunan.
Rombongan yang diketuai oleh Pensyarah Bahasa Arab di Fakultas Tarbiyah dan Keguruan, Dr Muflihah, dan disertai oleh tiga orang mahasiswa dan mahasiswi dari fakulti berkenaan telah tiba di Negara Brunei Darussalam pada 16 Ogos.
Antara matlamat program adalah untuk mengunjungi dan meninjau beberapa pusat pembelajaran bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.
Dalam usaha bagi mencapai matlamat program, pihak Fakulti Bahasa Arab (FBA), UNISSA telah mengaturkan lawatan ilmiah ke beberapa sekolah Arab di negara ini termasuk Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), Kampung Batu Satu; Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Kampung Katok dan Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB), Kampung Rimba.
Sepanjang lawatan ke sekolah-sekolah Arab tersebut, rombongan telah diberikan penerangan mengenai hal ehwal pentadbiran dan hal ehwal akademik.
Rombongan juga diterangkan dan dipersembahkan pelbagai aktiviti ilmiah yang dilaksanakan oleh pihak sekolah.
Lawatan itu secara tidak langsung mampu memperkuat jalinan kerjasama dalam bentuk akademik antara pelbagai peringkat; peringkat persekolahan rendah, menengah dan juga institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam.
Selain itu, ia juga dapat menggambarkan pencapaian pembelajaran bahasa Arab dan perkembangannya, di samping meningkatkan pengetahuan rombongan mengenai budaya, adat istiadat dan cara hidup masyarakat di negara ini.



