BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Universitas Muhammadiyah Tangerang (UMT) Indonesia untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, penganjuran seminar dan forum serta pertukaran pelajar dan tenaga pakar universiti masing-masing.
Majlis penandatanganan MoU tersebut telah diadakan secara maya melalui platform persidangan video, kelmarin, di mana menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektor, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal manakala itu, UMT diwakili oleh Rektor, Dr H Ahmad Amarullah,MPd.
Dr Haji Norarfan dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini tidak menghalang UNISSA untuk terus mengembangkan kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi di luar negara.
Malah cabaran ini membuka ruang lagi untuk UNISSA dapat berinteraksi melalui platform secara maya, tambah beliau.
Dr H Ahmad dalam ucapannya pula menyatakan bahawa dengan penandatangan MoU berkenaan maka perancangan untuk mengimplementasikan apa jua program-program kerjasama antara UMT dan UNISSA terutama dari aspek pendidikan, penyelidikan, pengabdian kepada masyarakat, dan pengembangan nilai-nilai agama Islam yang menjadi ruang lingkup kerjasama yang perlu direalisasikan.
Majlis diteruskan lagi dengan acara pembentangan Webinar Internasional Pendidikan Islam Magister Pendidikan Agama Islam UMT dengan tema ‘Menggagas Kembali Pendidikan Islam Perspektif Al-Quran di Era Globalisasi’.
Pembentang kertas kerja melibatkan pensyarah daripada UNISSA iaitu Pengarah Pusat Pengajian Siswazah, Dr Hajah Sri Rahayu @ Nurjanah binti Haji Dollah dan Pensyarah Fakulti Usuluddin, Profesor Dr Fathuddin Beyanouni.
Bagi pihak UMT pula, kertas kerja telah dibentangkan oleh Direktur Pascasarjana, Dr H Priyo Susilo, MM dan Pensyarah UMT dan juga Alumni Doktor Falsafah UNISSA, H Muhammad Firdaus, Lc, MA, PhD.
