Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Beberapa buah stesen minyak di tiga buah daerah dijadualkan untuk ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian ke atas alat sukatan untuk pam minyak bagi Jun 2023.
Unit Sukatan dan Timba-ngan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi menyatakan akan melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan ke atas alat sukatan jenis pam minyak di stesen-stesen minyak.
Menurut Unit SDT, langkah berkenaan adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 15, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT adalah dikehendaki ke atas penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan.
Dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian berkenaan, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula pukul 9 pagi hingga selesai, yang mana anggaran pelaksanaannya adalah sekitar dua jam.
Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak itu adalah pemeriksaan rutin yang dikendalikan sebanyak tiga kali setahun.
Stesen-stesen minyak yang dijadualkan ditutup sementara dari pukul 9 pagi hingga 11 pagi di Daerah Belait adalah Stesen Minyak Syarikat Koperasi Perniagaan dan Perusahaan Melayu Berhad, pada 5 Jun dan Stesen Minyak Sepakat pada 21 Jun.
Di Daerah Brunei dan Muara, melibatkan Stesen Minyak Masjory pada 6 Jun, Stesen Minyak Mahbohai pada 7 Jun, Stesen Minyak Bebatik pada 8 Jun, Stesen Minyak Koperasi Ikatan Teluk Mewah Mentiri pada 10 Jun dan Stesen Minyak Riverine pada 12 Jun. Manakala itu, di Daerah Tutong adalah Stesen Minyak Koperasi Persatuan Kampung Lubok Pulau (KOPEKLAP) dengan Tanggungan Berhad pada 19 Jun dan Stesen Minyak Telisai Sdn Bhd pada 21 Jun.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Unit SDT melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn atau talian 2334092.